Followers

Promosi Hebat

Peluang untuk menambah wang poket anda. [Churp Churp]

Cipta GAME menarik di #MiloCansNextGame dan menang RM 10K!

The smartest Samsung Galaxy SII. #LoveMySII

Thursday, September 29, 2011

KL Menang Anugerah Pengembaraan Dunia

 KL Menang Anugerah Pengembaraan Dunia

BANGKOK – Kuala Lumpur muncul sebagai Destinasi Bandar Raya Terulung Asia pada Anugerah Pengembaraan Dunia 2011 di sini.

Pengumuman itu dibuat menerusi laman web anugerah tersebut.

Pemenang kategori itu tidak diumumkan semasa Anugerah Pengembaraan Dunia bagi rantau Asia dan Australiasia ke-18 yang diadakan di sebuah hotel di sini malam tadi, kerana penerimanya tidak menghadiri majlis tersebut.

Kuala Lumpur turut dikenali dengan menara berkembar tertinggi dunia iaitu Menara Berkembar Petronas, beserta gabungan landskap moden dan lama dengan gerai-gerai penjaja dan bangunan rumah kedai sebelum perang dicelah-celah bangunan pencakar langit dan canggih.

Laman web itu turut mengumumkan Hotel Pan Pacific di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sebagai pemenang kategori Hotel Lapangan Terbang Terulung Asia.

Bagi ketegori Malaysia; Hotel Grand Millennium, Kuala Lumpur diumum pemenang Hotel Perniagaan Terulung Malaysia; Sheraton Imperial, Kuala Lumpur sebagai Hotel Terulung; Sheraton Langkawi Resort sebagai Resot Terulung dan The Westin Langkawi Resort & Spa sebagai Spa Resot Terulung. – BERNAMA

Hudud: PR hormati pendirian PAS, terima perbezaan pendirian DAP

Pakatan Rakyat Tidak Akan Laksanakan Hukum Hudud

KUALA LUMPUR – Majlis Pimpinan Pakatan pembangkang tidak akan melaksanakan hukum hudud seperti yang dicadangkan PAS kerana ia tidak menepati dasar bersama, Perlembagaan Persekutuan dan agenda Buku Jingga.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pakatan pembangkang menghormati pendirian PAS dalam hal itu tetapi pada masa yang sama menerima perbezaan pendirian DAP yang menentang pelaksanaannya.

“Kita tak boleh nafikan hak mana-mana pihak untuk mengemukakan pendirian tetapi kita terikat dengan dasar bersama dan Perlembagaan Persekutuan,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat pakatan pembangkang di sini Rabu malam.

Turut hadir Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Pengerusi DAP, Karpal Singh, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Isu hudud dibangkitkan Menteri Besar Kelantan yang juga Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebelum ini yang bercadang untuk melaksanakannya di negeri itu.

Anwar berkata, pakatan pembangkang juga tidak boleh menafikan hak mana-mana pihak untuk mengemukakan pandangan berhubung isu itu. – BERNAMA

Makcik Hajjah Sitt Al-Wuzara Bakal Kena

 Makcik Hajjah Sitt Al-Wuzara Bakal Kena!

KUALA LUMPUR — Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah mengambil tindakan berhubung kes menghina Yang di-Pertuan Agong di laman web sosial melibatkan seorang individu yang dikatakan tinggal di Sweden.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata, SKMM telah berhubung dengan pengendali Facebook dan Twitter untuk memadamkan paparan yang dibuat oleh individu yang menggunakan nama samaran ‘Makcik Hajjah Sitt Al-Wuzara’.

Namun, Twitter tidak dapat memenuhi permintaan itu, kata Rais kepada pemberita di sini semalam.

“Maklumat mengenai keluarganya sudah diperolehi dan telah dikemukakan kepada pihak Peguam Negara Isnin lalu,” katanya, sambil menambah identiti individu berkenaan dikenal pasti dengan bantuan pihak berkuasa.

Menteri itu berkata, oleh kerana kes itu melibatkan individu yang tinggal di Sweden, dia tidak dapat dibawa pulang ke Malaysia kerana ‘berada dalam perlindungan perjalanan antarabangsa’.

Bagaimanapun, Rais berkata SKMM telah berhubung dengan pihak Interpol yang memberi isyarat sedia bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia berhubung kes itu.

Menurutnya individu terbabit berdepan dengan tindakan undang-undang jika dia pulang ke tanah air.
Rais menegaskan tindakan menghasut, memperkecilkan agama atau menghina raja adalah kesalahan besar.

Menteri itu berkata, beliau telah memaklumkan perkembangan kes itu kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Seri Paduka telah menzahirkan pandangan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan jemaah menteri. — BERNAMA

Kami 'cuai' - Ferguson


WELBECK meledakkan dua gol ketika United seri 3-3 dengan FC Basel pada aksi Liga Juara-Juara awal pagi semalam.


MANCHESTER - Alex Ferguson tidak dapat menyembunyikan perasaan kecewa selepas Manchester United seri 3-3 dengan FC Basel pada aksi Liga Juara-Juara awal pagi semalam.

Pengurus skuad The Red Devils itu menyalahkan benteng pertahanan yang dianggap 'cuai' selepas pasukan itu mempersia-siakan kelebihan dua gol hasil jaringan Danny Welbeck pada minit ke-16 dan 17.

Begitupun, Fabian Frei berjaya merapatkan jurang pada minit ke-57 sebelum Alexander Frei meletakkan Basel di depan hasil jaringan pada minit ke-59 dan sepakan penalti (ke-76).

Ashley Young menyelamatkan United apabila menyumbat gol penyamaan pada minit ke-90 tetapi ia tidak mampu untuk menggembirakan Ferguson.

United yang seri 1-1 dua minggu lalu masih gagal mencatat keputusan yang positif dalam saingan Kumpulan C, sekali gus menduduki tempat ketiga di belakang Basel dan Benfica.

"Kami cuai. Mereka mencipta dua atau tiga peluang gol pada babak pertama tetapi kurang konsentrasi telah membunuh kami. Kami mempersia-siakan kelebihan tersebut.

"Ia adalah satu persembahan yang baik pada babak pertama tetapi kami gagal mempertahankan keputusan tersebut. Bagaimanapun, kami berjaya mengelak daripada kekalahan.

"Sudah tentu, mesej pada waktu rehat adalah untuk menamatkan perlawanan itu kerana peluang yang mereka cipta pada babak pertama.

"Saya fikir, ia adalah satu peringatan, bolos tiga gol di gelanggang sendiri. Pemain pertahanan dan tengah perlu lebih baik dari segi konsentrasi.

"Mereka memiliki kemampuan tetapi jika kamu bermain secara santai, kualiti dalam kempen Liga Juara-Juara akan menyebabkan kamu menderita."

Dalam masa yang sama, Ferguson turut mengkritik pengadil, Paolo Tagliavento yang menghadiahkan sepakan penalti selepas Antonio Valencia mengkasari Marco Streller pada minit ke-75. - AFP

Wednesday, September 28, 2011

Lagu Najwa Di You Tube Ditonton Lebih 2 Juta Orang

Lagu Najwa Di You Tube Ditonton Lebih 2 Juta Orang 



KUALA LUMPUR – Biarpun baru berusia 16 tahun tetapi bakat Najwa dalam bidang nyanyian terserlah apabila lagunya yang berjudul Cinta Muka Buku nyanyiannya ditonton lebih 2 juta penonton baru-baru ini.

Menurut pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (P) Temenggong Ibrahim, Batu Pahat, Johor ini dia tidak menyangka lagu yang dinyanyikannya di You Tube mendapat sambutan di luar dugaan daripada para penonton di seluruh dunia.

“Saya pada mulanya hanya menyanyi sambil bermain gitar lagu Baby yang dipopularkan oleh Justin Bieber di mana saya rakam dan siarkannya di You Tube. Ia hanya untuk suka-suka sahaja tetapi saya tidak sangka ramai yang sukakannya.

“Klip video lagu itu ditonton lebih 100,000 penonton. Selepas sambutan itulah saya mula mencipta lagu-lagu sendiri termasuklah Cinta Muka Buku di mana ia telah ditonton lebih 2 juta penonton,” katanya sewaktu ditemui semalam.

Ekoran sambutan para peminat terhadap lagu-lagu Najwa atau nama sebenarnya Imratul Najwa Abdul Latif, syarikat rakaman NAR Records telah melamarnya bernaung di bawah label itu pada bulan Mac yang lalu.

Jelas Najwa yang mula belajar bermain gitar pada usia 14 tahun, dia telah berkolaborasi dengan kakaknya, Iqhwatul Syafika Abdul Latif, 22, dalam menghasilkan sembilan buah lagu sejak hampir dua tahun yang lepas.

“Saya mencipta melodi lagu, manakala kesemua lirik lagu-lagu nyanyian saya pula ditulis oleh kakak saya itu. Saya akan terus belajar dan akan menyanyi secara serius selepas habis belajar nanti,” jelasnya dengan bersungguh-sungguh.

Sembilan lagu yang telah dicipta oleh Najwa yang bakal diterbitkan oleh NAR Records itu bertajuk Carta Hati, Cinta Muka Buku, I Love You, Kau Lupa Itu Aku, Kosong, Only Yours, Adamu, Sahabat serta Satu. – mynewshub.my

Tonton


CInta Muka Buku


Namewee Serang Utusan Malaysia Pula


Namewee Serang Utusan Malaysia Pula!




 

KUALA LUMPUR – Namewee buat hal lagi.

Kali ini dia mengutuk akhbar Utusan Malaysia melalui video klip selama 2 minit 43 saat yang dimuat naik ke laman Youtube bermula semalam.

Video klip berkenaan diberi tajuk Namewee FxxK Utusan dan setakat ini, hampir 15,000 hits diperoleh video berkenaan.

Sebahagian besar komen juga dilihat menyebelahi Namewee.

Marah Namewee kali ini dikatakan berpunca daripada sebuah rencana dalam Utusan Malaysia yang bertajuk Bukan Nasi Lemak 2.0, soalnya Namewee…

Rencana tersebut menzahirkan pandangan penulisnya yang tidak senang dengan sikap Namewee yang cuba menjadi hero 1Malaysia melalui filem Nasi Lemak 2.0 arahannya setelah beberapa kali bertindak menghina orang Melayu dan agama Islam sebelum ini.

Dalam rencana berkenaan, penulisnya berkata; Jika diberi tiket percuma pun, saya tidak mahu menonton filem ini.

Tidak seperti kelaziman di mana Namewee akan menyanyi lagu rap untuk meluahkan marahnya, dia kali ini hanya berkata-kata dengan menggunakan bahasa Melayu pasar dan perkataan-perkataan lucah.

Namewee kelihatan sangat marah apabila penulis berkenaan memberitahu tidak mahu menonton filemnya.

Padanya, penulis berkenaan harus menonton dahulu filem tersebut dan kemudian baru menulis pandangannya.

Wartawan Utusan Malaysia berkenaan pula dalam rencananya berkata, Namewee sudah terlalu banyak mengguris hati dan perasaan rakyat Malaysia sebelum ini.

“Tentu kita belum dapat melupakan lagi, pemuda yang berasal dari Johor ini pernah dengan lagu Negarakuku, memperlekeh negara dan menghina wanita Islam bertudung dan azan subuh.

“Selepas itu, dia atau nama sebenarnya Wee Meng Chee buat hal lagi dengan menghina TNB dan dalam lagu bertajuk Kawanku menghina Melayu dengan lirik ‘Melayu Balik Hutan Jadi Sakai’.

“Dan ada lagi, dia membuat satu lagi klip video yang menghina Guru Besar dan Kementerian Pelajaran dengan perkataan-perkataan lucah,” katanya dalam rencananya itu.

Bagi penulis berkenaan, siapa Namewee untuk bercakap mengenai perpaduan antara kaum.

“Alahai, dia pula bercakap pasal 1Malaysia. Adakah anak muda ini sedar, bukankah perpaduan di negara ini dipupuk dengan cara kita menghormati setiap kaum yang ada.

“Bukan dengan menghina dan memperlekehkan sesuatu kaum dan negaranya seperti yang disiarkan di YouTube,” katanya.

Bagi wartawan Utusan Malaysia, kalau mahu bercerita mengenai filem yang mengambarkan aspirasi semua rakyat, maka filem Estet arahan Mamat Khalid lebih hebat dan berkesan.

Filem Nasi Lemak 2.0 dibintangi beberapa artis dan pelakon popular tempatan seperti Afdlin Shauki, Datuk David Arumugam dan Adibah Noor.

Gambar: FB Namewee


-Mynewshub

Tuesday, September 27, 2011

Bajet 2012: Lebih Banyak Berita Baik Untuk Rakyat

 
Bajet 2012: Lebih Banyak Berita Baik Untuk Rakyat

KUALA LUMPUR – Tentunya ramai yang tertunggu-tunggu untuk mendengar pembentangan Bajet 2012 yang bakal diumumkan oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Tun Razak, pada sidang Dewan Rakyat , 7 Oktober ini.

Apakah ia lebih mesra rakyat berbanding bajet yang pernah diumumkan sebelum ini?

Ramai penganalisis ekonomi menjangkakan Perdana Menteri akan menawarkan pelbagai insentif yang menarik untuk rakyat negara ini demi melengkapkan Program Transformasi Ekonomi (ETP), bersesuaian dengan slogan ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ yang diilhamkan sebelum ini.

Justeru itu, ramai yang beranggapan bahawa pembentangan Bajet 2012 itu akan menzahirkan fokus Kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi pada tahun 2020 dan memberikan perhatian pada peningkatan sosio-ekonomi rakyat.

Menurut kajian yang dijalankan oleh sebuah syarikat penganalisaan ekonomi, AmResearch Sdn Bhd, terdapat empat fokus utama Kerajaan di dalam pembentangan Bajet kali ini merangkumi peningkatan kualiti hidup rakyat, memperluaskan aktiviti ekonomi negara, menyediakan prasarana perniagaan dan modal insan terlatih berkelas dunia.

Kerajaan sememangnya menyedari tentang peningkatan kos sara diri di kalangan rakyat dan ia menimbulkan beban yang bukan mudah untuk digalas khususnya bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Oleh itu, kajian tersebut menyasarkan Kerajaan akan memberikan tumpuan untuk meringankan beban rakyat tersebut dengan memperkenalkan pelbagai insentif seperti baucer tunai yang boleh ditebus di Kedai 1Malaysia dan bantuan sampingan kepada golongan ibu tunggal, pemandu teksi, pekerja estet, pesara serta mereka-mereka yang berpendapatan kurang dari RM3,000 ke bawah.

Selain itu, untuk golongan berpendapatan sederhana pula dijangka akan di’hadiah’kan dengan pelbagai rebet cukai untuk mengurangkan beban sara hidup mereka.

Kerajaan juga dijangka akan memperkenalkan semula pengurangan sumbangan pekerja secara sukarela dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) masing-masing dari sebelas peratus kepada sembilan peratus.
Justeru itu, golongan pekerja di negara ini boleh menikmati lebihan pendapatan kira-kira RM700 juta untuk digunakan bagi meningkatkan kuasa membeli mereka.

Bagi mengekalkan Malaysia sebagai sebuah negara yang paling kompetitif di rantau Asia terutamanya di Asia Tenggara, Kerajaan juga dijangka aka melakukan penstrukturan semula garis panduan pelaburan dengan meningkatkan pegangan asing dalam pelbagai sektor utama yang berpotensi untuk dikembangkan.

Antara sektor yang dikenal pasti berpotensi adalah minyak dan gas, penjagaan kesihatan, pendidikan dan perniagaan perkhidmatan profesional.

AmResearch melalui nota kajiannya juga menjangkakan pengurangan cukai individu sebanyak 1.0 peratus mata, namun berkemungkinan besar Kerajaan akan mengekalkan cukai korporat pada Bajet 2012 ini.

Menurut kajian itu, pengurangan cukai tersebut dilihat perlu dilaksanakan sebagai persediaan Kerajaan bagi melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang dijangka bakal dilaksanakan pada tahun 2014 atau 2015 nanti.

AmResearch menegaskan bahawa langkah tersebut adalah satu tindakan yang sangat positif untuk menghadapi GST dan dilihat mampu membawa pulang bakat-bakat mahir tempatan yang kini berkhidmat di negara luar.

Hasil kajian tersebut menyimpulkan bahawa Bajet 2012 perlu mengekalkan sokongan pertumbuhan fiskal, memberi keseimbangan pengurangan defisit daripada unjuran 5.5 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar pada 2011 kepada 5.2 peratus pada 2012.

Bagaimanapun, firma analisa ekonomi yang terkemuka itu membayangkan bahawa Kerajaan juga bakal berdepan dengan pelbagai cabaran membangunkan negara memandangkan pengurangan bagi perbelanjaan pembangunan adalah sukar ketika pertumbuhan dunia yang semakin merosot.

Kesimpulannya melalui kajian yang dijalankan oleh AmResearch itu, Kerajaan diramal bakal memberikan lebih banyak berita baik sekaligus membayangkan tentang Pilihanraya Umum ke-13 yang semakin hampir. - MyNewsHub

Safee pulang ke tanah air hari ini




SAFEE ketika berada di Stadium Cardiff City semalam sebelum pulang ke tanah air.


CARDIFF CITY - Penyerang skuad kebangsaan Malaysia, Mohd. Safee Sali akan pulang ke tanah air hari ini selepas menjalani latihan selama dua minggu dengan kelab bola sepak Cardiff City di bawah kendalian pengurus Malky Mackay.

Harapan pemain berusia 27 tahun itu adalah agar dapat diterima sebagai pemain kelab dari Wales tersebut yang bersaing dalam Liga England.

Safee yang kini bermain untuk kelab Indonesia, Pelita Jaya berkata, tempo permainan di England lebih pantas.

Penyertaannya dalam sesi lati-han dengan Cardiff City mendapat liputan meluas akhbar tempatan, malah beberapa penyokong kelab itu turut mendapatkan autograf Safee semalam ketika pasukan tersebut menentang Leicester City. 

Safee tidak beraksi pada perlawanan tersebut.

"Selepas menyertai pasukan simpanan dan juga pasukan utama dalam latihan, saya dapati permainan di sini lebih pantas. Ia berada di tahap yang sangat berbeza," katanya ketika ditemui di Stadium Cardiff City semalam.

Safee yang berasal dari Selangor menyifatkan latihan yang dilaluinya sebagai berjaya dan beliau diterima dengan baik oleh pemain-pemain Cardiff City.

"Walaupun hanya dua minggu, saya banyak belajar. Insya-Allah, saya harap dapat kembali untuk bermain dengan pasukan ini pada masa depan," katanya.

Perlawanan Cardiff City dengan Leicester City itu turut disaksikan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Britain, Datuk Zakaria Sulong dan isteri yang menyertai sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia yang diraikan oleh kelab berkenaan.

Safee yang sebelum ini dianggap oleh pengurus Queens Park Rangers, Neil Warnock sebagai 'David Beckham Malaysia' akan bermain untuk skuad kebangsaan Malaysia pada aksi persahabatan menentang Australia di Sydney pada 7 Oktober depan.

Ini merupakan perlawanan pertama antara kedua-dua pasukan itu dalam tempoh 20 tahun. - Bernama

Monday, September 26, 2011

Arsenal kehilangan Walcott


WALCOTT (kanan) dipapah keluar padang selepas mengalami kecederaan lutut.


LONDON - Arsenal terpaksa membayar harga yang tinggi biarpun berjaya mencatat kemenangan 3-0 ke atas Bolton Wanderers dalam saingan Liga Perdana England kelmarin.

Ini kerana, pemain sayap mereka, Theo Walcott mengalami kecederaan lutut yang dia bakal terlepas aksi menentang Olympiakos pada saingan peringkat Kumpulan F kempen Liga Juara-Juara awal pagi Khamis ini.

Situasi tersebut ternyata memberikan tamparan hebat buat pengurus skuad The Gunners, Arsene Wenger yang mengakui bahawa dia kini dalam keadaan bimbang memikirkan mengenai kecederaan yang dialami Walcott.

Besar kemungkinan Walcott tidak dapat diturunkan pada pertemuan menentang kelab Greece di Stadium Emirates itu.

"Pada mulanya saya ingatkan ia hanya kecederaan hamstring biasa tetapi sebenarnya tidak. Walcott berasa amat sakit di bahagian lulutnya," kata Wenger.

Sebelum ini, Wenger menetapkan sasaran ke atas anak-anak buahnya untuk mengutip mata maksimum apabila beraksi di tempat sendiri dalam usaha untuk mara ke peringkat kalah mati.
Pada perlawanan menenta'ng Bolton itu, penyerang Belanda, Robin Van Persie muncul wira skuad The Gunners apabila meledak dua gol pada minit ke-46 dan 71 sebelum Alex Song menjaringkan gol ketiga pada minit ke-89.

Mengulas mengenai aksi tersebut, Wenger memuji persembahan yang dipamerkan penyerang Belanda itu selaku kapten apabila menganggap pemain tersebut sudah semakin matang.

"Saya berasa, dia (Van Persie) merupakan salah seorang pemain yang telah meningkat matang dengan penuh tanggungjawab.

"Dia telah menunjukkan banyak peningkatan. Saya telah lama memantau prestasinya dan dia berjaya laksanakan tugasnya dengan baik," jelas Wenger. - AFP

Ferguson puji aksi pemain

 https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEh4EsdB7iZnQc2vyMEk1hTTPdshjJDZ1P7l-XD8f002yW9pqciJF3sEo0yoiRcd4g1Vi6XNvxK9TxqPQltnf9CdXI5G35el9NON96n9trsDZcYd2Jhhc4jKrRyiV9M3mLpZHoMb-66kKSk-/s1600/Key+Discipline+Sir+Alex+Ferguson.jpg


STOKE - Meskipun sekadar seri 1-1 dengan Stoke City dalam saingan Liga Perdana England awal pagi semalam, pengurus Manchester United, Alex Ferguson tetap yakin dengan kemampuan barisan pemain skuad The Red Devils.

Malah, dia menggangap aksi yang dipamerkan barisan pemainnya adalah seperti seorang juara.
"Kami (United) sebenarnya memiliki peluang yang cerah untuk memenangi perlawanan tersebut.

"Namun, Stoke beraksi dengan baik. Mereka telah membuatkan kami berada dalam keadaan tertekan tetapi kami berjaya mengatasi situasi tersebut dengan baik.

"Jika mereka menjaringkan gol sekalipun ia hanyalah akan terhasil menerusi set piece kerana mereka mempunyai kelebihan daripada aspek tersebut.

"Begitupun, dalam usaha mempamerkan corak permainan secara menyerang kami telah menunjukkan bahawa kami adalah lebih baik malah kami sebenarnya mampu menjaringkan lebih daripada satu gol.

"Mungkin perubahan terhadap barisan pemain dalam pelawanan kali ini telah menjejaskan sedikit rentak permainan kami tetapi kami masih mempunyai rekod yang baik dengan Stoke," kata Ferguson.

Pada aksi yang berlangsung di Stadium Brittania itu, skuad The Red Devils terlebih dahulu di depan selepas pemain sayap Portugal, Nani membuka tirai jaringan pada minit ke-27.

Bagaimanapun, Peter Crouch memusnahkan impian United untuk membawa pulang tiga mata penuh apabila berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-52.

Dalam pada itu, Ferguson yang telah kehilangan khidmat ayam tambatannya, Wayne Rooney (gambar) ekoran mengalami masalah kecederaan hamstring terus dihantui nasib malang.

Ini kerana, dia kehilangan dua lagi khidmat pemain utamanya selepas menyaksikan tonggak pertahanan, Jonny Evans mengalami kecederaan di bahagian buku lali ketika sesi pemanas badan sebelum aksi menentang Stoke itu.

Lebih malang, Ferguson turut kehilangan bintang muda Mexico, Javier Hernandez yang terpaksa diusung keluar tatkala perlawanan baharu memasuki minit ke-10.

"Ia bukan suatu yang mudah dengan beberapa perubahan terpaksa dibuat. Hernandez memiliki kepantasan dan merupakan seorang pemain yang bijak membolosi benteng pertahanan lawan tetapi kehilangannya adalah satu kerugian besar.

"Evans pula mengalami masalah kecederaan pada buku lali sejak semalam (kelmarin). Kami berdepan dengan malapetaka ketika sesi latihan apabila Micheal Carrick, Rooney dan Evans semuanya mengalami kecederaan.

"Pada awalnya, Evans merasakan dirinya sudah pulih tetapi ketika sesi pemanas badan sebelum perlawanan, kecederaan tidak dapat berbuat apa-apa. Jadi... kami terpaksa melakukan perubahan," jelas Ferguson. 

- AFP
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...