DICURI...besi penghadang yang ditanggalkan pencuri di susur keluar
MRR2 menghala Jalan Taman Bukit Maluri.
MRR2 menghala Jalan Taman Bukit Maluri.
KUALA LUMPUR: Lagak mereka seperti pekerja penyelenggaraan jalan raya, namun jika diamati mereka mencuri besi penghadang jalan dengan membuka skru besi di sepanjang susur keluar Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) menghala Jalan Taman Bukit Maluri, di sini.
Perbuatan itu menyebabkan banyak besi penghadang yang menjadi penghalang atau penebat kenderaan yang terbabas daripada jatuh ke bawah jejambat hilang dan keadaan itu mengundang kebimbangan di kalangan pengguna lebuh raya berkenaan.
Tinjauan Metroplus mendapati banyak penghadang jalan di lebuh raya yang menghubungkan Sungai Buloh dan Batu Caves, lesap.
Peniaga, Lim, 43, berkata perbuatan itu dilakukan sekumpulan lima hingga tujuh orang yang berlakon seperti pekerja penyelenggara lebuh raya termasuk menggunakan jaket keselamatan.
“Operasi mereka bermula pada siang hari dan mereka seolah-olah menyelenggara lebuh raya, tetapi mereka cuba melonggarkan dan membuka skru besi penghadang.
“Kemudian pada tengah malam mereka datang semula ke kawasan sama dan membuka besi yang dilonggarkan itu sebelum dijatuhkan ke bawah jejambat dengan ada anggota kumpulan mereka menunggu dengan lori. “Besi yang dijatuhkan itu dimuatkan ke dalam lori untuk dijual kepada peraih besi buruk,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.
Pengguna lebuh raya berkenaan, Ahmad Sajali, 34, berkata kecurian besi penghadang itu menyusahkan pengguna jalan raya.
“Disebabkan tindakan mencuri besi penghadang memungkinkan kemalangan jalan raya bertambah teruk. Saya berharap pihak berkuasa terutama polis, pihak berkuasa tempatan (PBT) serta pengurusan lebuh raya peka dengan masalah ini kerana ia berlarutan sejak setahun lalu, tapi besi penghadang yang dicuri belum diganti,” katanya. Menurutnya, pihak berkuasa perlu kerap membuat pemantauan termasuk melakukan rondaan dan pemeriksaan di kawasan terbabit bagi mencegah kecurian daripada berterusan.
Difahamkan, individu sama turut mencuri besi penutup longkang di hentian motosikal (laluan berteduh dari hujan) di bawah jejambat sama menyebabkan longkang tidak bertutup dan boleh menyebabkan kemalangan motosikal terutama waktu malam dan gelap.
Sementara itu, Pegawai Media Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Zurida Hashim, berkata pihaknya sudah mengenal pasti lokasi kehilangan penghadang jalan terbabit dan mengesahkan ia di bawah penyelenggaraan pihaknya.
“DBKL akan melakukan kerja pembaikan dengan menggantikan penghadang besi jalan yang hilang. Ia dijangka siap dalam dua bulan kerana besi itu perlu ditempah dari kilang mengikut bentuk asal. Selain itu, bahagian skru akan dikimpal bagi menyukarkan ia dibuka, sekali gus mengelakkan dicuri lagi,” katanya.
my metro
No comments:
Post a Comment