KUALA LUMPUR – Orang ramai dan pengguna di negara ini perlu bersedia
dengan kemungkinan berlaku peningkatan harga barangan harian secara
mendadak dalam masa terdekat.
Ini berikutan pembentangan Bajet 2012 yang antaranya melibatkan
kenaikan gaji, imbuhan serta bonus tambahan kepada kakitangan awam di
seluruh negara, pada 7 Oktober lalu dijangka akan mendorong peniaga
tamak mengambil kesempatan menaikan harga barangan.
Bagi menghadapi kemungkinan itu, Kementerian Perdagangan Dalam
Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) telah mengambil langkah
mewujudkan Jawatankuasa Pemantauan Harga bagi mengekang kenaikan harga
oleh sebilangan peniaga yang tidak bertanggungjawab.
Pengerusi Majlis Penasihat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM),
Tunku Azwil Tunku Abdul Razak berkata, pihaknya baru-baru ini menerima
satu sistem pesanan ringkas (sms) dari KPDNKK yang memaklumkan tentang
rancangan kementerian itu.
“Saya ada menerima sms dari pihak KPDNKK baru-baru ini mengenai
penubuhan Jawatankuasa Pemantauan Harga itu dan PPIM komited bekerjasama
dengan Jawatankuasa tersebut.
“PPIM juga sudah mewar-warkan kepada semua aktivis-aktivis kami di
seluruh negara agar melipat gandakan pemantauan di tempat masing-masing
dan melaporkan sekiranya ada peniaga yang berani menaikkan harga
sewenang-wenangnya,” katanya ketika dihubungi Mynewshub.my di sini hari
ini.
Kenaikan harga barangan pengguna adalah satu isu normal setiap kali
kerajaan mengumumkan pemberian bonus atau sebarang bentuk penyelarasan
gaji serta elaun di kalangan kakitangan awam.
Di Pahang umpamanya hari ini dilaporkan, peniaga dikesan menaikkan harga daging ayam sehingga RM10 sekilogram.
Tambah Tunku Azwil, sms tersebut yang dihantar oleh Pengarah Bahagian
Dasar dan Standard Kepenggunaan, Norashiken Ishak meminta semua
pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan-persatuan pengguna untuk
memberikan kerjasama dengan Jawatankuasa yang bakal ditubuhkan itu.
Tunku Azwil memaklumkan bahawa jawatankuasa yang akan dianggotai dari
wakil kementerian terbabit, NGO-NGO dan persatuan-persatuan pengguna
itu dijangka akan melakukan pemantauan harga di semua lokasi-lokasi
strategik yang dikenal pasti sama ada di dalam atau di luar bandar.
Berikut adalah kandungan sms dari KPDNKK yang dihantar kepada NGO-NGO pengguna di seluruh negara:
“Dengan pengumuman Bajet 2012, kenaikan gaji penjawat awam dll
dijangka akan mencetuskan kenaikan harga oleh peniaga yang tidak
beretika.
“Sebagai tindakan proaktif, KPDNKK akan menubuhkan taskforce
untuk pemantauan harga dan pada masa yang sama kerjasama bersama NGO
pengguna dan rakan pengguna diperlukan dalam usaha kementerian dalam
menangani isu kenaikan harga dan keuntungan melampau.
“Pihak kami akan berhubung dengan persatuan pengguna dari masa ke semasa bagi maksud ini,”.
Presiden Persatuan Pengguna Air Keroh (PPAK), Safina Sulaiman
berkata, KPDNKK sewajarnya meningkatkan lagi pemantauan harga di seluruh
negara untuk mengekang kenaikan harga barang oleh peniaga-peniaga yang
cuba mengambil kesempatan.
“Memanglah KPDNKK seharusnya mempertingkatkan lagi pemantauan, bukan
sahaja di bandar malah diluar bandar demi mengelakkan kenaikan harga
barangan oleh peniaga yang tidak bertanggungjawab”, katanya kepada kami
melalui sms. - MyNewsHub