BOLTON - Alex Ferguson yakin Manchester United berhak memegang status
selaku pendahulu Liga Perdana England kerana skuad kendaliannya telah
melalui perlawanan yang sukar pada awal kempen musim ini.
Juara bertahan itu berjaya menewaskan Tottenham Hotspur dan Arsenal sebelum menang 5-0 ke atas Bolton Wanderers kelmarin.
Kemenangan itu turut membolehkan skuad The Red Devils mendahului jiran setempat, Manchester City yang menewaskan Swansea City, Bolton Wanderers, Tottenham dan Wigan Athletic.
Selepas empat perlawanan, United dan City berkongsi 12 mata, tetapi kedua-dua pasukan itu dibezakan dengan kelebihan jaringan.
United juga telah mengumpul 18 gol daripada empat perlawanan pertama
dan jaringan hatrik kedua berturut-turut dari Wayne Rooney serta dua gol
daripada Javier Hernandez menyaksikan mereka mengungguli kedudukan
teratas.
Ini bermakna skuad kendalian Ferguson itu akan turun menentang
Chelsea di Old Trafford dengan kelebihan psikologi pada 18 September
ini.
Pengurus The Red Devils itu sedar kemenangan ke atas anak buah
Andre Villas-Boas tersebut mampu mengukuhkan reputasi mereka dalam
saingan liga domestik dan di pentas Eropah.
"Kamu hanya perlu memberi tumpuan kepada pasukan kamu sendiri," kata Ferguson.
"Ia adalah satu permulaan yang sukar pada awal musim, kami terpaksa
berdepan semua pasukan yang hebat. Ahad ini kami bertemu Chelsea pula.
"Ia satu jadual yang padat dan kalau kami berjaya mengharunginya, kami telah melakukannya dengan baik." - AFP