Followers

Promosi Hebat

Peluang untuk menambah wang poket anda. [Churp Churp]

Cipta GAME menarik di #MiloCansNextGame dan menang RM 10K!

The smartest Samsung Galaxy SII. #LoveMySII

Wednesday, August 17, 2011

Asing segera mentega DNA babi


SEBUAH pasar raya terkenal di Pulau Pinang masih menempatkan mentega DNA babi bersama mentega halal di tempat sejuk beku semalam.

KUALA LUMPUR - Semua pengusaha pasar raya dan peruncit diminta mengasingkan segera mentega jenama Pure Creamery Butter-Golden Churn yang disahkan mengandungi asid deoksiribonukleik (DNA) babi ke dalam rak seksyen tidak halal dengan segera.

Ia bagi mengelakkan umat Islam daripada terbeli mentega berkenaan sebagai bahan membuat kek dan biskut sempena menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

Ketua Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Mohd. Roslan Mahayuddin berkata, pihak berkenaan juga perlu melupuskan logo halal yang tertera pada bungkusan mentega tersebut.

"Kami meminta kerjasama semua pengusaha pasar raya dan peruncit supaya mengasingkan segera mentega mengandungi DNA babi itu daripada rak halal ke dalam rak tidak halal dengan segera,'' katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) semalam mengesahkan mentega Golden Churn yang dipasarkan di Malaysia disahkan tidak halal kerana mengandungi DNA babi.

Sementara itu, Eksekutif Perhubungan Awam pasar raya Carrefour, Salmieah Mohd. Zin berkata, pihaknya telah menghentikan penjualan mentega tersebut dua minggu lalu selepas pengguna mula meraguinya.

"Kita ada dengar cerita mentega ini ada DNA babi dan disebabkan logo halalnya bukan daripada Jakim, maka penjualannya kita hentikan dua minggu lepas," katanya. - Kosmo!

MB Kedah Diminta Berehat Sehingga Pulih

http://pru12.pas.org.my/profil_calon/sederhana/kedah/n20.jpg


ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata beliau telah diminta oleh doktor yang merawatnya di Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur supaya berehat sehingga benar-benar pulih.

Beliau berkata beliau turut diberi cuti sakit (MC) sehingga 29 Ogos ini.

Ketika ini beliau masih di bawah pengawasan serta dibenarkan menyambung rawatan di sini.

"Mereka nak tengok tekanan darah, gula dan jantung. Dah lebih dua minggu saya dirawat. Keadaan saya baik cuma masih di bawah pengawasan. Saya sebenarnya dah tiga tahun tak bercuti.

"Bagaimanapun saya akan datang juga ke pejabat untuk kerja-kerja ringan. Saya akan hadir mana-mana majlis penting.

"Bagaimanapun secara fizikal saya akan jarang hadir sebab dinasihatkan berehat," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri di kediaman rasmi Menteri Besar di Sri Mentaloon di sini, Rabu.

Pada 29 Julai lepas, Azizan yang juga menghidap penyakit darah tinggi dimasukkan ke IJN selepas mengadu sakit jantung.

Beliau berkata beliau telah dimaklumkan oleh doktor bahawa tiada saluran di jantungnya yang tersumbat dan beliau tidak perlu menjalani pembedahan.

"Bloked tak ada. Perjalanan darah elok, doktor tak suruh buat rawatan susulan tetapi suruh berehat," katanya.

Azizan juga melahirkan rasa gembira kerana ramai pemimpin Umno dan Barisan Nasional terutama dari Kedah yang datang melawat beliau semasa berada di IJN. - BERNAMA

Kini pengundi dengan MyKad tidak wujud pula dikesan

Ketika BN dan Pakatan Rakyat sibuk memperkatakan tentang penubuhan jawatankuasa khas Parlimen untuk reformasi pilihan raya, lagi kesilapan didedahkan dalam daftar pemilih oleh parti-parti politik dan orang awam.

NONEPenemuan terbaru oleh seorang penyokong PAS menunjukkan
beberapa pengundi berdaftar di Kedah mempunyai MyKad dengan nombor yang tidak wujud.

Maklumat tersebut berserta imej skrin (kiri) lamanweb Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dipaparkan di halaman Facebook yang didaftarkan kepada 'Pengundi PAS Kedah'.

Ia menunjukkan bahawa angka ketujuh dan kelapan nombor MyKad tiga orang pengundi dicatatkan sebagai '00 '. Secara umumnya, angka itu digunakan untuk menunjukkan negeri lahir pemegang MyKad.

Menurut lamanweb Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang menyenaraikan kod bagi negeri-negeri di Malaysia dan negara-negara asing, kod '00 'tidak wujud.

Ketika dihubungi, pegawai perkhidmatan pelanggan JPN mengesahkan tidak ada kod itu dan meminta wartawan ini membuat laporan rasmi kepada jabatan berkenaan.

Semakan dengan portal JPN - yang membolehkan orang ramai menyemak status dokumen pengenalan mereka - menunjukkan tidak ada rekod tiga MyKad terbabit.

Apabila mengakses pagi ini, sistem pengesahan dalam talian SPR mengesahkan butiran pengundian ketiga-tiga mereka:

1. Hasrullizam bin Halim
MyKad no: 800604002563
Kawasan mengundi: Bukit Pinang (negeri), Pokok Sena (Prliament)

2. Rosmadi bin Chik
MyKad no: 801111002544
Kawasan mengundi: Kota Siputeh (negeri), Jerlun (Parlimen)

NONE3. Shapiza binti Ghazali
MyKad no: 811020002568
Kawasan mengundi: Bukit Lada (negeri), Pokok Sena (Parlimen)

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Yusof (kanan) telah berkali-kali menjelaskan bahawa setiap pendaftaran pengundi akan diperiksa dengan pangkalan data JPN.

Oleh itu, tidak diketahui bagaimana tiga pengundi tersebut telah didaftarkan dalam daftar pemilih walaupun nombor MyKad mereka tidak sah. - Mkini

Barcelona bertuah beli Cesc pada harga murah - Wenger

http://www.freemalaysiatoday.com/wp-content/uploads/2011/07/wenger.jpg


LONDON - Pengurus Arsenal, Arsene Wenger (gambar) menganggap Barcelona cukup bertuah kerana dapat mengikat Cesc Fabregas pada harga yang cukup murah.

Ini kerana menurut Wenger, bekas kaptennya itu hanya mahu menyertai Barcelona dan tidak mahu berhijrah ke mana-mana kelab lain.

Barcelona berjaya mendapatkan khidmat Fabregas malam kelmarin dengan harga 29 juta euro (RM124.3 juta).

Nilai itu bakal meningkat ke 35 juta euro (RM150 juta) seandainya Barce- lona berjaya merangkul kejuaraan bersama Fabregas sepanjang lima tahun akan datang.

Namun Wenger tetap beranggapan dia mampu meletakkan harga lebih tinggi jika Fabregas berhijrah ke kelab-kelab lain seperti Real Madrid, Chelsea dan Manchester City yang mampu mengeluarkan wang sehingga £50 juta (RM243.2 juta) bagi mendapatkan Fabregas.

"Kami menjual Fabregas pada harga yang rendah. Jika dia boleh diletakkan di pasaran umum kepada kelab-kelab lain, kami mampu mendapatkan wang lebih banyak.

"Jika itu berlaku, kami mampu meletakkan bidaan di kalangan Real, Chelsea atau City tetapi dia hanya mahu berhijrah ke Barcelona.

"Apa yang melucukan, orang menggelar pemain jutaan pound ini sebagai murah. Memang kami mahu menjualnya dengan harga setimpal dan inilah nilai yang kami bayar dahulu," kata Wenger.

Pengendali veteran itu turut tidak mahu perjalanan Arsenal tanpa kelibat Fabregas selepas ini terus suram.

"Memang saya mahu dia kekal menyarung jersi Arsenal tetapi ini sebahagian daripada kehidupan. Kami turut pernah melihat beberapa tonggak utama meninggalkan Arsenal.

"Kami perlu fokus kepada pemain yang ada dan yakin dengan keupayaan mereka," jelas Wenger. - AFP

Lindegaard idam jersi No. 1 United

http://www.kosmo.com.my/kosmo/pix/2011/0817/Kosmo/Sukan/su_10.1.jpg


LONDON - Anders Lindegaard mahu merampas jersi No. 1 Manchester United daripada bintang baharu, David De Gea.

De Gea yang dibeli dengan harga £18 juta (RM87 juta) dari Atletico Madrid bulan lalu, dilihat masih gagal menunjukkan prestasi sebenar.

Dia sering melakukan kesilapan mudah yang hampir mengundang padah buat United dalam dua aksi sebelum ini.

Pada aksi Perisai Komuniti menentang Manchester City di Wembley dua minggu lalu, De Gea hampir menjadi penyebab kekalahan United sebelum The Red Devils menang 2-1.

Kelmarin, De Gea sekali lagi gagal memperlihatkan kehebatannya apabila bertanggungjawab kepada gol penyamaan West Bromwich sebelum United melakar kemenangan 2-1 pada aksi pembukaan Liga Perdana England itu.

"Saya tidak gentar untuk menjadi (pemain) No. 1 di United. Itulah tujuan saya ke sini (Old Trafford). Saya mahu beraksi dan menjadi yang terbaik.

"Pengurus (Alex Ferguson) akan memutuskan siapa yang (terbaik) akan diturunkan.

"Saya tidak mempunyai rasa takut dan saya percaya kepada kemampuan diri saya untuk beraksi di tahap ini jika tidak, saya tidak berada di United," kata Lindergaard.

Lindergaard menyertai United pada Januari lalu dengan nilai perpindahan berjumlah £3.5 juta (RM17 juta) dari kelab Norway, Aalesund.

Dia membuat penampilan sebanyak dua kali bersama skuad utama United ketika aksi Piala FA menentang Southampton dan Crawley sebelum menjalani pembedahan lutut pada Mac lalu. - Agensi

Penggodam komputer tunjuk perasaan

http://www.kosmo.com.my/kosmo/pix/2011/0817/Kosmo/Dunia/du_01.1.jpg


SAN FRANCISCO, Amerika Syarikat (AS) - Empat stesen kereta api bawah tanah di sini ditutup buat sementara kelmarin dalam satu tunjuk perasaan yang dianjurkan oleh kumpulan penggodam komputer, Anonymous berhubung kekejaman polis dan kebebasan bersuara.

Sebelum ini perkhidmatan kereta api bawah tanah utama di sini menutup rangkaian telefon bimbit di beberapa stesen kereta api bawah tanah pada Khamis lalu untuk mengelakkan para penunjuk perasaan daripada menganjurkan protes berhubung tindakan polis menembak mati seorang lelaki pada bulan lalu.


SEORANG wanita yang merupakan anggota penggodamkomputer memegang poster dalam tunjuk perasaan menuntut kebebasan bersuara di Stesen Sivik, San Francisco, California kelmarin.


"Tindakan ini adalah untuk menutup mulut orang ramai," kata seorang aktivis berusia 41 tahun, Carlos Wilson yang hadir untuk membantah kekejaman polis dan penutupan rangkaian telefon pada minggu lalu.

Berpuluh-puluh penunjuk perasaan muncul di sebuah stesen kereta api semasa waktu puncak pada pagi kelmarin tetapi mereka bersurai selepas pihak berkuasa menutup stesen kereta api berkenaan.

Tidak lama kemudian, tiga lagi stesen kereta api bawah tanah ditutup kerana penuh sesak dengan penunjuk perasaan.

Polis berkata, tiada tangkapan dibuat setakat ini walaupun sejumlah anggota polis tiba di lokasi kejadian dengan memakai seragam dan kelengkapan antirusuhan.

Anonymous merupakan kumpulan penggodam antarabangsa yang pernah menceroboh sistem komputer di kebanyakan negara di dunia termasuk Malaysia selain beberapa agensi kewangan utama seperti PayPal, MasterCard dan Visa.- Reuters

Berbuka mewah jadi isu di Turki

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjWZAgbtDvWUzralViHd_Ohbwyl-uyp9mi3rj0h9ZILxieTMVoGBYKQMNjciSsUrWDN2oaxylywuEpuHDxwn9s5nBMRaUwYmw8UEhsdlaPJn4XkKANWf9jJRev1ytt4uLvNxQf2f4TiYUJp/s1600/turki.jpg

ANKARA: Berbuka puasa secara mewah atau di tempat umum menjadi isu di Turki selepas sebuah pergerakan pro-Islam, Landasan Keadilan dan Buruh (LJP) menyifatkan mereka yang berbuka di hotel melambangkan kemenangan sistem kapitalis.

“Kami menentang pembaziran wang ketika berbuka. Daripada membelanjakan wang untuk meja hidangan berbuka, beri saja wang itu kepada pekerja,” menurut kenyataan LJP.

Mereka merujuk kos berbuka iaitu 318 lira Turki (RM533) satu meja sedangkan gaji minimum di negara itu hanya 658 lira (RM1,104).

“Ini bukannya protes terhadap iftar ketika Ramadan semata-mata tetapi kami lakukannya kerana juadah besar ini menjadi lambang penduduk yang akur kepada cara kapitalis sejak 15 tahun lalu,” kata seorang peserta protes, Ihsan Eliacik kepada akhbar Hurriyet.

“Ketika orang miskin berhimpun di bawah khemah untuk mendapatkan makanan percuma, golongan kaya berkumpul di hotel. Malang sekali mentaliti konservatif di Turki mewujudkan jurang ini yang dianggap biasa sekarang,” katanya.

Seorang lagi penulis, Hidayet Tuksal, berpendapat isu ketidakadilan sosial termasuk jurang taraf hidup tidak banyak dibincangkan di kalangan kumpulan Islam.

Ihsan, bagaimanapun, tidak bersetuju dengan Hidayet dengan berkata: “Memberi kekayaan tidak semestinya dapat membantu menghapuskan ketidaksamaan taraf.

“Wujud jurang besar antara golongan kaya dan miskin di Turki. Orang kaya yang sedar perkara itu mendermakan wang mereka tetapi meneruskan cara hidup mereka,” katanya.

Perbahasan itu dilihat turut mempengaruhi ahli politik dengan speaker Parlimen, Cemil Cicek, yang baru-baru ini menghadiri majlis berbuka, mengkritik penaja kerana menggunakan meja mahal, manakala Perdana Menteri, Recep Tayyip Erdogan turut menggesa semua pihak mengelak mengadakan iftar besar-besaran. – Agensi
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...