Followers

Promosi Hebat

Peluang untuk menambah wang poket anda. [Churp Churp]

Cipta GAME menarik di #MiloCansNextGame dan menang RM 10K!

The smartest Samsung Galaxy SII. #LoveMySII

Tuesday, August 9, 2011

Pelajar Mara cedera rusuhan di London

http://media.themalaysianinsider.com/images/uploads/2011/august/09/bm_riot.jpg


BANGI, 9 Ogos — Seorang pelajar tajaan Majlis Amanah Rakyat (Mara) jurusan Perakaunan sebuah kolej di London tercedera ringan dalam rusuhan di kota itu semalam.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata bagaimanapun, pelajar itu, Asyraf Hazlan, 20-an, tidak kritikal dan hanya cedera di bahagian rahang dan kini dirawat di Royal London Hospital.

“Pelajar ini tidak terlibat dalam rusuhan, tetapi beliau diserang oleh sekumpulan perusuh ketika keluar dari tren bawah tanah ketika dalam perjalanan menziarah rakannya untuk berbuka puasa di utara London.

“Beliau kemudian dipukul dan dirompak, tetapi telahpun dibawa ke hospital untuk rawatan, di mana beliau perlu menjalani pembedahan untuk merawat kecederaan itu,” katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa bersama warga kementerian berkenaan dan agensi di bawahnya, di Institut Kemajuan Desa (Infra).

Dipetik Bernama Online, Mohd Shafie berkata keluarga mangsa, yang berasal dari Selangor, telah dimaklumkan mengenai kejadian tersebut.

Beliau berkata Mara turut mengambil langkah berjaga-jaga dengan memindahkan pelajar di kawasan berisiko tinggi di kota itu ke sebuah penempatan di Leicester Square bagi menjamin keselamatan mereka. - The Malaysian Insider

11 % Pelajar Kelantan Hadapi Masalah Mental

http://zdravlje.krstarica.com/uploads/pics/depress1981.jpg


KOTA BAHARU – Antara 10 dan 11 peratus remaja khususnya pelajar di Kelantan menghadapi masalah mental dan menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, di sini.

Ketua Jabatan Psikiatri HUSM Prof Madya Dr Mohd Jamil Yaacob berkata mereka ini, yang termasuk murid sekolah rendah, adalah antara lebih 700 pesakit yang menerima rawatan setiap bulan di klinik psikiatri hospital itu termasuk kes berulang.

“Ini adalah fenomena baru dalam masyarakat kesan tekanan hidup dalam kekeluargaan dan pelajaran di dunia yang semakin mencabar sekarang,” katanya kepada Bernama di pejabatnya di sini Selasa yang turut dihadiri Pengarah HUSM Datuk Dr Zaidun Kamari.

Mohd Jamil berkata kebanyakan pelajar yang menghadapi masalah mental itu adalah disebabkan faktor keturunan, masalah keluarga di rumah dan persekitaran sekolah.

Katanya peningkatan jumlah pelajar yang menerima rawatan itu berikutan kesedaran orang ramai terhadap peranan dan tugas yang dimainkan oleh klinik psikiatri dalam menyelesaikan pelajar yang menghadapi masalah itu.

“Sebelum ini, ramai ibu bapa enggan datang ke klinik psikiatri kerana tidak sanggup menerima tanggapan negatif masyarakat yang menganggap mereka datang ke klinik berkenaan sebagai penghidap penyakit jiwa,” katanya.

Untuk menghilangkan tanggapan negatif itu juga, Jabatan Psikiatri HUSM mengambil inisiatif menamakan klinik ini sebagai “Klinik Bimbingan dan Remaja” sejak 2002.

Selain itu, katanya, petugas jabatan itu mengadakan lawatan ke sekolah bagi memberi khidmat bimbingan terapi kepada pesakit terbabit.

Zaidun pula berkata tahap penerimaan masyarakat dalam mendapatkan rawatan mental di hospital lebih tinggi berbanding sebelum ini kerana kebanyakan mereka yang terlibat dikategorikan sebagai Orang Kurang Upaya mendapat kemudahan kerajaan, khasnya daripada Jabatan Kebajikan masyarakat. – BERNAMA

Pakatan mampu rampas 100 kerusi Parlimen




Perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai lalu mungkin melonjakkan pungutan kerusi bagi Pakatan Rakyat daripada 75 sekarang kepada 100 pada pilihan raya umum akan datang, kata penganalisis politik Wong Ching Huat.

NONEPada seminarnya di Universiti Monash, Sunway hari ini, Wong yang juga ahli jawatankuasa pemandu BERSIH 2.0 berkata peralihan sokongan itu adalah kerana reaksi rakyat terhadap tindakan kerajaan BN yang mengubah sentimen mereka di sejumlah 55 kerusi marginal yang dimenangi kedua-dua pihak.

"BERSIH telah meningkatkan peluang Pakatan di 20 kerusi yang dimenang tipis oleh BN dan memperkuatkan kedudukan Pakatan di 33 kerusi (marginal) milikinya sebelum ini,” katanya.

Wong berkata jumlah berkenaan adalah hasil rumusannya berdasarkan demografik pengundi dan corak pengundian pada pilihan raya umum 2008 dan juga beberapa pilihan raya kecil yang lalu.

Beliau juga menjangkakan corak yang sama akan berlaku di kerusi-kerusi milik calon Bebas seperti di Wangsa Maju, Nibong Tebal dan Bayan Baru yang terletak di kawasan bandar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Berdasarkan perkiraannya juga, beliau menjangkakan Datuk Ibrahim Ali akan hilang kersi parlimennya di Pasir Mas di Kelantan.

azlanSelain itu, Wong juga menjangkakan PSM akan mengekalkan kerusinya di Sungai Siput, yang dimenangi dengan majoriti kecil berikutan penahanan ahli parlimennya Dr D Jeyakumar yang ditangkap mengikut Ordinan Darurat.

"Secara demografik ia adalah kerusi yang bahaya (untuk Jeyakumar) tetapi penahanan itu telah memberi manfaat kepada Jeyakumar, terutamanya undi simpati. Beliau akan terus mendapat undi masyarakat India dan menang dengan lebih selesa,” katanya kepada Malaysiakini selepas seminar itu.

Katanya dua kerusi milik SAPP lebih sukar diramalkan.

Wong juga berkata Pakatan dijangka akan mengekalkan secara marginal kersi di Sibu, Kuantan dan Indera Mahkota, tetapi bukan kerana BERSIH 2.0 tetapi isu lain seperti kilang pemprosesan bumi nadir Lynas, khususnya di Pahang. - Mkini

Bersyukur dikurnia anak kembar empat

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjTr63CjNLKT-NPHRTNO7cOO4F6fphsH7sf4zeDJjkFgsSwh85mXX0Sdy9QFn_wtsO3LJqoJ-B2siHnKsQ6LTXzpGIKj3mdrOAZ9OJUllekdburiPkMCIcwz7uk6dQhDBzncQC4QrlBpIJP/s1600/KMBR.jpg

KUALA LUMPUR - Pasangan Dr. Jasmina Qamaruz Zaman, 39, dan suaminya, Hazli Zakaria, 39, bersyukur kepada Allah SWT apabila penantian selama tujuh tahun mereka untuk mendapatkan anak kedua berakhir setelah dikurniakan anak kembar empat.

Jasmina yang melahirkan kembar empat itu dengan cara pembedahan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 22 Jun lalu berkata, dia dan suami tidak pernah menyangka akan dikurniakan anak kembar.

“Kami berusaha untuk mendapatkan anak kedua selepas mendapat anak pertama Eimann Arrazi yang lahir pada 2004 sewaktu saya sedang belajar di United Kingdom (UK).

“Pelbagai usaha dibuat sehingga saya dan suami memilih untuk menjalani kaedah persenyawaan dalam rahim (IUI). Doktor ada memberitahu IUI akan membolehkan saya mendapat anak kembar tetapi saya tidak pernah menyangka ke arah itu.

“Selepas disahkan mengandung, tiga minggu selepas itu, saya sudah diberitahu akan mendapat anak kembar empat. Tidak banyak masalah sewaktu mengandung, cuma pada bulan keenam saya sudah dimasukkan ke HKL sehinggalah bersalin,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di rumahnya di sini, hari ini.

Menceritakan pengalamannya, Jasmina berkata, sewaktu pembedahan, doktor mengambil masa selama satu setengah jam untuk mengeluarkan anak dalam kandungannya itu.

“Alhamdulillah, selepas pembedahan, keempat-empat anak saya, yang mana dua lelaki dan dua perempuan sihat tanpa sebarang komplikasi,” katanya.

Beliau berkata, sewaktu dilahirkan anak kembar mereka iaitu Eirfann Arrazi adalah seberat 2 kilogram (kg), Sara Yasmin (1.34kg), Eihsann Arrazi (2.1kg) dan Shaza Jasmin seberat 1.66kg.

“Eirfann dilahirkan pada pukul 2.08 petang, Sara (2.09 petang), Eihsann (2.10 petang) dan Shaza pada pukul 2.11 petang iaitu masing-masing selang seminit,” jelasnya.

UTUSAN/-

Taufan Muifa ancam kilang kimia

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEh743Si-zm543qBIwFMjHALjcZadYATPbahoaKgW903VLauXTL1mBRL0-ogq4EGrmF_8RznHUr-EZ3CBmK692izYxpP4NP_cHIwpWFpnEH58TLojkL86AHIWLR__s0M0mn1eVcrbnawcEOM/s1600/taufan.jpg

BEIJING 8 Ogos - Penduduk sekitar bandar pelabuhan China bimbang ombak besar akan melanda negara ini yang dijangka mengancam sebuah kilang kimia dan tumpahan bahan kimia toksik.

Media tempatan hari ini melaporkan, ombak setinggi 20 meter memecah benteng di Dalian di timur laut wilayah Liaoning dan mengancam loji kimia Fujiahua yang menempatkan bahan-bahan kimia toksik, menurut tentera di tempat kejadian.

Ombak tersebut dicetuskan oleh Taufan Muifa yang diramal oleh Agensi Ramalan Cuaca China melanda petang ini sekitar wilayah Laioning atau barat Korea Utara. - Agensi

Panas! Bendera Israel dalam syiling baru Malaysia

MUNGKIN ramai pembaca yang sudah mengetahui tentang berita kemunculan matawang syiling baru Malaysia yang diumumkan di laman sesawang rasmi Bank Negara Malaysia baru-baru ini [BNM].

Pembaharuan yang jelas boleh diperhatikan, Bank Negara Malaysia akan mengeluarkan duit syiling berwarna kuning keemasan dengan nilai RM 0.50 dan RM 0.20 di samping duit syiling bernilai RM0.10 dan RM0.05 bewarna perak dengan cetakan corak yang baru.

Namun begitu, satu perkara yang agak mengejutkan apabila dilihat jelas terdapat cetakan corak "Star of David" yang menyerupai bendera Israel pada duit syiling baru bernilai RM0.10. Rujuk gambar di bawah ini.



Persoalannya, adakah "Star of David" sengaja dicetak pada duit syiling terbaru ini atau ia skadar suatu kebetulan? Apa perlunya lambang bintang enam ini diguna untuk menggantikan lambang bulan dan bintang pada syiling lama?

Jika dilihat, lambang bulan dan bintang pada duit syiling sebelum ini menggambarkan Islam sebagai agama rasmi Malaysia. Jika "Star of David" pula digunakan, adakah ia menggambarkan sokongan secara tersirat Malaysia kepada negara Yahudi Israel dan agenda Freemason?

SPR cipta sejarah, Kg Baru sebagai pengundi

KUALA LUMPUR, 9 Ogos: Daftar pemilih SPR mencipta satu sejarah apabila mendaftarkan sebuah kampung bernama Kg Baru sebagai pengundi.

Menurut Pengerusi Pemulihan Demokrasi dan Mobilisasi Pemuda PAS Malaysia, Suhaizan Kaiat, Kg Baru yang mempunyai no kad pengenalan 830527115422 dan dilahirkan pada 27 Mei 1983 layak mengundi di Dun Hulu Besut dalam parlimen Besut.

Beliau yang juga Ketua Pemuda PAS Johor dalam satu kenyataan berkata, daftar pemilih SPR bukan sahaja mendaftar manusia sebagai pemilih tetapi telah mencipta satu sejarah baru mendaftarkan kampung sebagai pemilih yang sah dalam negara ini.

Berikut ulasan beliau berhubung perkara itu.

Daftar pemilih SPR mencipta satu sejarah apabila mendaftarkan sebuah kampung bernama Kg Baru sebagai pengundi. Kg Baru yang mempunyai no kad pengenalan 830527115422 dan dilahirkan pada 27 Mei 1983 layak mengundi di Dun Hulu Besut dalam parlimen Besut. Daftar pemilih SPR bukan sahaja mendaftar manusia sebagai pemilih tetapi telah mencipta satu sejarah baru mendaftarkan kampung sebagai pemilih yang sah dalam negara ini.

Maklumat pemilih yang mencipta sejarah ini adalah seperti di bawah:

Apabila semakan dibuat dalam laman web Jabatan Pendaftaran Negera (JPN) mengikut nombor kad pengenalan pemilih maka nama Kg Baru sebenarnya adalah Noraini Binti Abdullah. Persoalannya bagaimana SPR boleh melakukan kesilapan yang begitu memalukan? Bagaimana kecuaian ini boleh berlaku? Apakah Datuk Wan Ahmad Wan Omar masih menganggap isu ini hanyak layak di jawab oleh kerani SPR sahaja?

Maklumat Noraini Binti Abdullah adalah seperti berikut:

Dewan Pemuda PAS Malaysia juga telah menjumpai pemilih dari kalangan pengundi hantu di mana nama pemilih ini tidak terdapat dalam rekod JPN. Pengundi hantu ini bernama Farhana Binti Abdul Rashid, no kad pengenalan 840505715012 dan mengundi di Dun Wakaf Mempelam, Parlimen Kuala Terengganu.

Maklumat pengundi hantu ini adalah seperti berikut:

Semakan di laman Web JPN menunjukkan identiti Farhana Binti Abdul Rashid tidak wujud.

Persoalannya bagaimana SPR boleh mendaftarkan pengundi hantu sedangkan SPR mempunyai Sistem Pendaftaran Pemilih Sepanjang Tahun (e-SPPST) yang telah dihubungkan dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) melalui sistem ALIS (Agency, link-Up System)?

Berdasarkan kepada peristiwa pada 2 Ogos 2011 di mana JPN mengubah status warganegara dalam tempoh satu jam setengah maka mungkin maklumat Farhana Binti Abdul Rashid akan berubah selepas media menyiarkan maklumat pengundi hantu ini.

Dewan Pemuda PAS Malaysia beranggapan mungkin telah berlaku kecuaian manusia yang menyebabkan sebuah kampung dibenarkan mengundi. Salah satu punca kepada masalah ini adalah kerana SPR tidak mempunyai sistem pengesahan pengundi yang benar-benar mantap. Kecuaian manusia tidak dapat dikesan oleh sistem selepas data-data dimasukkan.

Dewan Pemuda PAS juga mendesak kepada SPR agar menggugurkan bayaran RM10 bagi setiap bantahan dan RM200 bagi setiap bantahan yang ditolak. Bantahan ini merupakan salah satu kaedah mengesan kesilapan manusia. Bantahan ini dibenarkan semasa SPR mempamerkan rang daftar pemilih. Apabila bayaran yang dikenakan terlalu mahal maka ia akan membebankan mereka yang mahu membuat bantahan sedangkan bantahan ini bertujuan untuk membersihkan daftar pemilih SPR.

Ini bermaksud pembantah mahu membantu SPR membersihkan data mereka. Membersihkan daftar pemilih adalah tugas hakiki SPR. Malangnya SPR mengenakan bayaran yang tinggi untuk membantunya membersihkan daftar pemilih. Bayaran yang dikenakan oleh SPR kepada pembantah adalah termasuk perkara-perkara yang pelik dalam negara kita. Sepatutnya SPR memberi bayaran tanda penghargaan kepada mereka yang membuat bantahan bukannya mengenakan bayaran kepada mereka yang mahu membantu SPR.

Tempoh bantahan juga terlalu singkat dan tidak munasabah iaitu hanya 5 hari sahaja termasuk 2 hari bercuti. Contohnya dalam rang suku ke-2 tahun 2011, SPR hanya membenarkan bantahan pada 29 Julai 2011 hingga 2 Ogos 2011. Iaitu 5 hari bermula hari Jumaat hingga selasa. Tempoh ini terlalu singkat dan merumitkan. Bayaran dan tempoh yang terlalu singkat ini seolah-olah SPR mempunyai agenda tersembunyi bagi menyukarkan pembantah untuk membuat bantahan.

Dewan Pemuda PAS mendesak agar tempoh bantahan ini dipanjangkan dan bayaran kepada pembantah digugurkan. Ini bagi memudahkan semua pihak membuat pembersihan daftar pemilih di masa akan datang. - Harakah Daily

China larang Uighur berpuasa


DUA anggota polis menjamu selera di gerai makanan etnik Uighur di Kashgar, provinsi Xinjiang, China dalam gambar yang dirakam 2 Ogos lalu. - REUTERS

URUMQI 7 Ogos - Bulan Ramadan kali ini tidak bermakna bagi masyarakat Islam Uighur di Urumqi, Xinjiang, barat laut China selepas kerajaan mengharamkan mereka menunaikan ibadah puasa, bersolat tarawih atau menjalankan sebarang aktiviti keagamaan.

Penganut Islam di Xinjiang dilarang daripada menunaikan ibadah tersebut selepas kerajaan memaksa mereka menandatangani satu 'dokumen' yang melarang mereka daripada berbuat demikian.

Larangan terbaru itu menekankan lagi layanan buruk kerajaan China terhadap penduduk minoriti Uighur yang sering berdepan tindakan keras pihak berkuasa sebelum ini dan dinafikan hak mereka.

Jurucakap Kongres Sedunia Uighur yang beribu pejabat di Munich, Dilxat Raxit berkata, syarikat-syarikat swasta di sini turut menyediakan makanan tengah hari buat pekerja beragama Islam dan mereka boleh kehilangan kerja atau bonus tahunan sekiranya enggan makan.

"Tokoh agama juga boleh kehilangan lesen menyampaikan ceramah sekiranya mereka mengadakan aktiviti keagamaan atau menyeru penganut Islam berhimpun bagi menjalankan kegiatan agama," katanya kepada agensi penerbitan dalam talian, Eurasia Review.

Jelasnya, pegawai turut menyasarkan golongan pelajar beragama Islam dengan menyediakan bekalan makanan semasa waktu rehat sepanjang bulan Ramadan.

Seorang penduduk Uighur yang enggan dikenali berkata, restoran-restoran di kawasan yang mempunyai ramai penduduk Islam juga diarah menjalankan perniagaan walaupun ketika hari siang.

"Orang ramai juga sukar memasuki masjid untuk bersembahyang. Mereka perlu menunjukkan kad pengenalan diri dan mendaftar jika ingin masuk ke masjid," katanya.

Sehari sebelum Ramadan, seramai 18 maut dan 31 yang lain cedera dalam dua pertempuran etnik terbaru di Xinjiang, dua tahun selepas insiden berdarah di wilayah ini mengakibatkan 200 maut sementara 1,700 yang lain cedera.

Xinjiang dicemari pergolakan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, melibatkan pertempuran antara etnik Uighur dengan kumpulan majoriti China Han di ibu negara, Urumqi pada Julai 2009. - Agensi

Tottenham jadi medan rusuhan luar biasa di London





LONDON 7 Ogos - Polis Britain berusaha memulihkan ketenteraman awam hari ini selepas perusuh mengamuk di utara London dengan membakar kereta-kereta polis, van, bas, bangunan-bangunan disusuli kejadian mencuri yang semakin berleluasa.


Seorang pegawai polis terpaksa dikejarkan ke hospital sementara tujuh yang lain turut cedera dalam rusuhan tersebut.


Kekacauan yang berlaku di Tottenham petang semalam itu tercetus selepas seorang lelaki terbunuh dalam satu kejadian berbalas tembakan dengan anggota polis.


Beberapa buah kereta peronda polis dan sebuah bas dua tingkat dibakar ketika beratus-ratus perusuh mengamuk di pekarangan balai polis di Tottenham High Road. Ulasan yang bersifat menghasut keadaan menerusi Twitter juga dibimbangi boleh memburukkan lagi kekacauan.


Polis antirusuhan hari ini berusaha mengawal keadaan di jalan-jalan ketika anggota bomba bertungkus-lumus memadamkan api dan perusuh terus mengamuk.


Perusuh memecah masuk kedai-kedai di High Road melalui tingkap sebelum dilihat menolak troli yang penuh dengan muatan barangan curi.


Kekacauan turut merebak ke kawasan penempatan berhampiran yang menyaksikan beberapa buah van dibakar.


Ia berlaku selepas satu perarakan secara aman diadakan ke balai polis di Tottenham bagi membantah kematian seorang penumpang teksi yang ditembak mati polis dalam satu kejadian berbalas tembakan Khamis lalu.


Bapa kepada empat anak, Mark Duggan, 29, maut di tempat kejadian.


Kawasan London Tengah sering menyaksikan demonstrasi oleh golongan pelajar dan kesatuan pekerja dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini, tetapi kekacauan terbaru ini merupakan yang terburuk pernah berlaku dalam masa bertahun-tahun di kawasan pinggir bandar. - AFP
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...