LOS ANGELES, Amerika Syarikat (AS) - Syarikat rakaman dan media
meletakkan harapan baharu untuk memajukan perniagaan mereka ekoran
penambahan kolum Ticker pada profil pengguna oleh Facebook.
Kolum Ticker memaparkan kemas kini aktiviti pengguna Facebook dalam
pelbagai aplikasi media di laman jaringan sosial itu seperti langganan
muzik dan filem.
Kolum itu menjadi medan pasaran baharu untuk syarikat rakaman dan media AS mempromosikan produk mereka.
Menerusi Ticker, syarikat rakaman boleh mengesan sama ada aplikasi
yang mereka tawarkan popular di kalangan pengguna Facebook atau
sebaliknya.
Apabila pengguna mengklik kolum Ticker kenalan mereka, pengguna
terbabit secara automatik ditawarkan untuk mencuba secara percuma
pelbagai perkhidmatan dalam talian seperti pelan muzik Spotify dan
Rhapsody yang digunakan kenalan mereka.
Selepas tempoh tawaran percuma itu tamat, pengguna yang berminat
boleh terus melanggan perkhidmatan yang ditawarkan dengan membayar yuran
bulanan.
Ketua Eksekutif firma langganan muzik Deezer, Axel Dauchez berkata,
penyertaan Deezer dalam Facebook membolehkan syarikat itu memasuki
pasaran lebih 130 negara di luar AS dalam tempoh cuma beberapa minggu.
Menurutnya, syarikat itu kini memiliki sekitar 1.4 juta pengguna
berbayar di Perancis dan Britain dengan Facebook menawarkan pasaran yang
jauh lebih besar.
Kolum Ticker itu dilancarkan oleh Ketua Eksekutif Facebook, Mark
Zuckerberg kelmarin untuk memudahkan 800 juta penggunanya berkongsi
muzik dan media lain dengan kenalan mereka.
Zuckerberg turut memperkenalkan perubahan besar pada profil pengguna Facebook yang dinamakan TimeLine.
Profil baharu itu boleh digunakan oleh pengguna untuk mendokumenkan
dan memaparkan kehidupan mereka dalam bentuk buku skrap dalam talian.
"Ia menyimpan semua kisah anda (pengguna), semua aplikasi anda sekali
gus satu kaedah ekspresi diri yang baharu," kata Zuckerberg ketika
berucap pada persidangan tahunan pembina rangkaian laman sosial di
bandar raya San Francisco, AS.
"Saya menggelarkan profil baharu ini sebagai 'kisah hidup anda'" tambahnya.- Agensi