Kenyataan mufti Perak bahawa Melayu-Islam berpecah kerana kerajaan yang lemah, tidak amanah dan rasuah dengan sendirinya menolak dakwaan ia berpunca daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pakatan Rakyat, kata PKR.
Ketua penerangannya Dr Muhammad Nur Manuty sebaliknya mendakwa, perpecahan Melayu-Islam pada masa kini berpunca daripada "politik kotor" pemimpin Umno.
Katanya, ia didakwa bermula daripada zaman bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohammad lagi.
"Dengan pendedahan yang dibuat ini, rakyat perlulah membuka mata dan menyatakan sikap menolak dengan tegas fitnah yang dilemparkan ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim," kata Dr Muhammad Nur (kanan).
"Malah, semua yang cintakan keadilan perlulah bersama-sama bertanggungjawab dan bertindak untuk membela beliau dari segala kezaliman dan pembohongan berterusan sejak lebih satu dekad yang lalu."
Tan Sri Harussani Zakaria dalam forum di Shah Alam kelmarin mendedahkan, beliau pernah mengingatkan Datuk Seri Najib Tun Razak tentang tiga kelemahan dalam kerajaan pimpinnya itu.
Dalam kenyatannya hari ini, Dr Muhammad Nur berkata, sempena hari-hari terakhir Ramadan, PKR menyeru pemimpin Umno menghentikan kezaliman pada Anwar "demi perpaduan ummah" dan seluruh masyarakat.
"Kita berkeyakinan penuh bahawa selagi kezaliman terhadap DSAI (Anwar) tidak dihentikan, isu perpaduan Melayu-Islam tidak akan dapat diselesaikan secara tuntas," katanya. - Mkini