Followers

Promosi Hebat

Peluang untuk menambah wang poket anda. [Churp Churp]

Cipta GAME menarik di #MiloCansNextGame dan menang RM 10K!

The smartest Samsung Galaxy SII. #LoveMySII

Saturday, August 20, 2011

Gang Curi Blackberry RM2.3 Juta Tumpas

Terbaru: Blackberry Touchscreen


SEPANG – Polis Selangor berjaya menumpaskan sindiket pecah gudang di kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang melarikan 2,100 unit telefon bimbit Blackberry, bernilai RM2.3 juta, semalam.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, lima lelaki rakyat tempatan berumur antara 30 dan 52 tahun ditahan sehingga hari ini untuk siasatan lanjut.

Hasil daripada tangkapan itu, katanya, polis merampas 1,470 unit telefon bimbit Blackberry model 9780, bernilai RM1.7 juta dan terus mencari 630 unit lagi yang belum ditemui.

Beliau berkata pada 10.20 pagi semalam, polis yang menerima laporan pintu bahagian dalam gudang itu telah dipecahkan, terus membentuk sebuah pasukan khas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang yang dianggotai 12 pegawai dengan diketuai oleh ASP Zaihairul Idrus.

“Dalam masa lebih kurang dua jam, polis berjaya menangkap tiga lelaki tempatan berumur 30-an di kawasan kargo,” katanya pada sidang media yang diadakan di IPD Sepang hari ini.

Tun Hisan berkata ketiga-tiga lelaki itu bekerja di bahagian logistik kargo sejak tiga hingga lima tahun lepas dan akan didakwa mengikut Seksyen 454 Kanun Keseksaan (Pecah Rumah).

Katanya hasil maklumat lanjut, pasukan itu menyerbu sebuah gudang barang-barang lusuh di Batu 12 Jalan Puchong, Serdang dan merampas 1,470 unit telefon yang merupakan barangan curi serta menahan pemilik gudang serta seorang pekerjanya.

Tun Hisan berkata telefon bimbit tersebut tiba di kargo KLIA pada 17 Ogos dari Hungary.

“Selepas pengesahan daripada pihak kastam, telefon-telefon tersebut akan dihantar ke sebuah syarikat di Petaling Jaya. Saya juga memberi amaran keras kepada pemilik barangan lusuh supaya jangan membeli barangan curi. Kita akan ambil tindakan tegas untuk membatalkan lesen,” katanya lagi.

Sementara itu, Tun Hisan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes pembunuhan seorang warga Indonesia di sebuah rumah di Kampung Abu
Bakar Baginda Sepang supaya menghubungi polis.

Mangsa yang merupakan buruh kontrak, ditemui mati akibat ditetak di bahagian leher pada jam 8.30 malam, 10 Ogos.

Katanya polis mencari lelaki warga Indonesia bernama Saiful Alam Marsali, berumur dalam lingkungan 36 tahun, untuk membantu siasatan kes pembunuhan itu.

Radig 2 Tinggalkan Gaza Serta-merta

Dr Sheikh Muszaphar Sertai Misi Ramadan Di Gaza

KUALA LUMPUR – Peserta rombongan Ramadan Di Gaza (RADIG 2) anjuran Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) di jangka keluar serta-merta dari Gaza berikutan serangan Israel yang bertubi-tubi.

Serangan itu menyebabkan letupan kuat yang menggegarkan hotel tempat penginapan anggota rombongan itu di tengah-tengah bandar raya tersebut, yang turut membahayakan keselamatan para peserta.

Mohd Azmi Abdul Hamid, Setiausaha Agung MAPIM yang juga Ketua Misi RADIG 2 berkata mereka kini sedang menunggu arahan daripada pihak berkuasa tempatan dan pejabat Duta Malaysia di Mesir untuk tindakan selanjutnya.

Beliau berkata sejak 33 anggota misi RADIG 2, termasuk Angkasawan Negara Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor berada di Gaza pada 17 Ogos lalu, mereka sudah mendengar lebih 10 letupan bom yang digugurkan tentera Israel di beberapa tempat awam sehingga mengorbankan beberapa penduduk tempatan termasuk wanita dan kanak-kanak.

“Suasana menjadi kelam-kabut dan mencemaskan apabila bunyi letupan kuat bom digugurkan kira-kira satu kilometer dari tempat penginapan ketika kami sedang khusyuk mendengar tazkirah kira-kira 4.40 pagi ini,” katanya.

Mohd Azmi berkata walau bagaimanapun penduduk tempatan kelihatan tidak panik dan tetap mundar-mandir seolah-olah bunyi letupan bom merupakan fenomena biasa di tanah air mereka.

Beliau berkata ahli rombongan RADIG 2 turut dibenarkan melawat tempat letupan bom pertama yang digugurkan Israel di Gaza dengan diiringi pegawai serta pasukan keselamatan tempatan.

Beliau berkata bangunan perpustakaan awam yang baru dibina musnah teruk dan Masjid Sheikh Sayyid Al Nahyan turut terjejas di mana kaca tingkap dan pintunya pecah.

Rombongan itu yang diiringi Datuk Bandar Gaza telah melawat hospital bersalin dan Masjid An Nasar yang terletak kira-kira satu kilometer dari sempadan Israel-Gaza.

Beliau berkata kos pembinaan masjid yang baru dibina itu, di atas tapak masjid lama yang berusia lebih 500 tahun, dijangka siap sepenuhnya November ini adalah hasil sumbangan rakyat Malaysia.

Bangunan masjid tiga tingkat itu boleh memuatkan 5,000 jemaah dalam satu-satu masa, katanya.

Isteri Ahmad Fedtri Yahya Keguguran

KUALA LUMPUR – Kegirangan pengacara rancangan Malaysia Hari Ini di TV3, Ahmad Fedtri Yahya menyambut Hari Raya Aidilfitri pertama tahun ini bersama Nurul Anati Ismail, 26, sedikit pudar apabila isterinya itu keguguran kandungan pada 26 Julai lalu.

Menurut pengacara berusia 30 tahun berasal dari Pantai Remis, Perak itu, isterinya yang keguguran kandungan pertama itu tidak lama selepas mereka pulang daripada berbulan madu di Korea Selatan pada 15 hingga 18 Julai lalu.

“Selepas tiga hari balik dari bulan madu itu, isteri saya telah menyertai satu kursus di tempat kerjanya. Dia kemudiannya mengadu sakit perut dan berlaku pendarahan. Ketika itu, kandungan isteri saya sudah memasuki usia enam minggu.

“Saya redha dengan ketentuan itu kerana saya memang teringinkan cahayamata biarpun kami baru sahaja berkahwin pada 28 Mei lalu,” katanya sewaktu ditemui selepas rakaman rancangan hari raya terbitan TV3 dan TV3 di One Utama, Petaling Jaya, Selangor semalam.

Biarpun belum ada rezeki bergelar bapa, namun ia tidak mematahkan semangat Ahmad Fedtri bagi meraikan sambutan Hari Lebaran yang pertama disambutnya sebagai suami di kampung isterinya di Tok Uban, Pasir Mas, Kelantan.

Jelasnya, dia akan beraya di kampung keluarga isterinya itu sehinggalah hari raya kedua sebelum bertugas semula di Malaysia Hari Ini pada raya yang ketiga selain mengacarakan rancangan Di Bawah Rimbunan Madrasah pada hari raya yang keempat.

“Saya sentiasa menyambut Hari Raya Aidilfitri dalam keadaan yang sederhana termasuklah selepas berkahwin. Semasa bujang dulu saya menyambutnya secara ala kadar sahaja. Selama lapan tahun bertugas di Malaysia Hari Ini saya menyambut raya pertama di studio sahaja.

“Ini adalah kali pertama sejak lapan tahun saya dapat beraya di luar konti studio pada hari raya yang pertama. Saya seperti sudah biasa bekerja pada hari raya tetapi tahun ini agak bermakna kerana saya meraikannya bersama isteri,” ujarnya lagi.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...