Followers

Promosi Hebat

Peluang untuk menambah wang poket anda. [Churp Churp]

Cipta GAME menarik di #MiloCansNextGame dan menang RM 10K!

The smartest Samsung Galaxy SII. #LoveMySII

Tuesday, September 6, 2011

Siapakah Mat Indera?

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEiPb_MtBdqXtQx7MGoBQR07MBT-NumLL4wfmeBykSDRK_8qgfQ42TfR56cfaIRtv6Y8O41Gf4eCwrcO_s9p5G6bIazvblmp1l2_vfNCetyen5GwTAdwxB1Zx7htJf1I2EgjS9pwxqQLN9E/s1600/mat+indera.jpg

Mat Indera

Mat Indera, atau Ahmad bin Indera lahir di Kampung Gombak, Peserai, Batu Pahat, Johor pada tahun 1920. Beliau pernah bertugas sebagai guru agama di Parit Setongkat, Muar pada tahun 1937. Diceritakan juga Mat Indera pernah berguru dengan Haji Yassin (gambar), ayah kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menggesa Mat Sabu supaya bertaqwa baru-baru ini. Di dalam peperiksaan Darjah Khas untuk guru-guru agama, Mat Indera pernah menerima anugerah butang perak daripada kerajaan Johor di atas kecemerlangannya di dalam peperiksaan tersebut. Selepas lulus peperiksaan Darjah Khas, beliau bertugas di Sekolah Agama Bandar Pontian sebagai guru agama.

Sewaktu pendudukan Jepun, Mat Indera bekerja sebagai peniaga beras. Setelah British kembali, Mat Indera bertugas pula sebagai ketua pengangkut beras di Pelabuhan Muar. Di waktu inilah Mat Indera membabitkan diri di dalam perjuangan menuntut kemerdekaan. Pada awalnya, Mat Indera dilantik menjadi Setiausaha Angkatan Pemuda Insaf (API) daerah Muar sewaktu API dipimpin oleh Ahmad Boestamam. Ketika British menguatkuasakan undang-undang darurat pada tahun 1948, semua parti politik berhaluan kiri diharamkan, termasuklah API (UMNO masih halal ketika ini dan hanya pernah haram sekali sahaja pada tahun 1988). Secara tidak langsung, Mat Indera menjadi buruan penjajah British.

Oleh kerana hanya komunis sahaja yang berjuang menentang British di dalam hutan, tidak dapat tidak Mat Indera terpaksa menjalinkan hubungan dengan komunis. Tindakan Mat Indera bersatu tenaga dengan komunis mencetuskan kemarahan British yang menawarkan hadiah sebanyak $25,000.00 kepada sesiapa yang berjaya menangkap Mat Indera. Ibu bapa Mat Indera, adiknya Johan Shah serta datuk dan nenek Mat Indera terpaksa keluar masuk penjara selama beberapa bulan kerana disoal siasat oleh pihak British, namun Mat Indera masih gagal diberkas oleh penjajah.

Mat Indera dan Bukit Kepong 

Peranan Mat Indera di dalam tragedi Bukit Kepong juga hangat diperdebatkan. Banyak teori yang dikemukakan, ada yang mengiyakan, tapi tak kurang juga yang menafikan. Namun hampir kesemuanya bersetuju Mat Indera terbabit secara langsung menyerang Rumah Pasung Bukit Kepong.

Misalnya, anggota polis marin yang terselamat di dalam tragedi itu, Abu Bakar Daud menafikan bahawa Mat Indera turut menyerang anggota polis, sebaliknya Mat Indera melindungi dan menyelamatkan keluarga anggota polis daripada menjadi mangsa pihak komunis. Seorang komunis Melayu, Shahran Abdul Ghani yang pernah aktif di kawasan Yong Peng mengesahkan bahawa serangan ke atas Rumah Pasong Bukit Kepong diarahkan oleh Mat Indera. Adik Mat Indera, Johan Shah pula mendedahkan bahawa abangnya mengaku bahawa beliau (Mat Indera) bertanggungjawab mengarahkan serangan ke atas Rumah Pasung Bukit Kepong tetapi tidaklah sehingga ke tahap membunuh dan membakar balai polis. Apa yang berlaku ialah orang-orang bawahannya yang berbangsa Cina telah melanggar arahan Mat Indera dan membuat pakatan rahsia tanpa pengetahuan Mat Indera. 

Apa pun peranan sebenar Mat Indera dalam tragedi Bukit Kepong itu, pihak British telah melabelkan Mat Indera sebagai pengganas dan tawaran dinaikkan kepada $75,000.00 untuk sesiapa yang berjaya menangkap Mat Indera. Rancangan demi rancangan diatur, akhirnya pada 1952, Mat Indera tertangkap setelah diperdayakan oleh rakan yang dipercayai olehnya. Beberapa pemimpin Melayu, antaranya Kadi Haji Ahmad Shah Haji Abdul Jabar cuba memujuk Mat Indera supaya bertolak ansur dengan penjajah sewaktu perbicaraan di mahkamah untuk melepaskan diri daripada hukuman mati, tetapi semua ini ditolak oleh Mat Indera. Akhirnya, Mat Indera didapati bersalah dan dihukum gantung sampai mati pada 30 Januari 1953.

Sumber: Kelab Greenboc

5 negeri rasai gempa di Sumatera

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEhNzQQ4sfIzN-0uZ4G8sXVLmKEJAuT7-dRaKuCD6m79ul2otFkeCjS2_uafrA044LraZS-xqEtdygXdT3TUhWJ9d4OUPSHmsqEsx72hl0jlxESv7zljC-63pKIrR_6xy1FOQji1pde2Oq7r/s1600/gempa_bumi.jpg

Satu gempa bumi kuat bermagnitud 6.7 pada skala Richter melanda Sumatera Utara, Indonesia pada 1.55 pagi ini yang gegarannya turut dirasai di beberapa negeri di Semenanjung.

Jabatan Meteorologi Malaysia dalam satu kenyataan berkata gempa bumi itu berpusat di 2.9 darjah Utara dan 97.6 darjah Timur, 363 kilometer dari barat daya Pulau Pangkor, Perak.

Gegarannya dilaporkan dirasai di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Perak, Kedah dan Pulau Pinang.

Namun tiada ancaman tsunami dikeluarkan.

Jurucakap Bilik Gerakan Bomba dan Penyelamat Bukit Jelutong, Selangor, ketika dihubungi berkata pihaknya turut menerima panggilan dari orang awam berhubung gegaran tersebut.

"Pihak kami menerima beberapa panggilan pada pukul 2 pagi hingga 2.50 pagi tadi dari orang awam yang memaklumkan tentang gegaran yang dirasai di sekitar Shah Alam, Kuala Kubu Bharu, Selayang, pinggiran Batu Caves dan Ulu Bernam," katanya.

Jurucakap itu berkata pihaknya telah melakukan pemeriksaan dan mendapati tiada sebarang kerosakan yang berlaku akibat gegaran tersebut.

--Bernama

Siswa anggap kenyataan Mat Sabu isu kecil

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEgM6s96Qtoxe2E37BqtAtl2fIhYExKCIf_pDCzqOY7uN29FKDZipXU8bA80JnwpDwJOE2wGXpNUqvHBu_B8U7x5gyjRohYErj5Ll8broiw2_eWPbFYGl2zqvwmbLGTls1ZiqNp1MsqZO8M7/s400/gambarnews1731.526+Mahasiswa.jpeg

Perkumpulan mahasiswa menganggap isu sekitar kontroversi ucapan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu yang dikatakan pro-komunis sebagai isu kecil berbanding perbahasan berkaitan sejarah Malaysia sendiri.

"Bagi mahasiswa, kenyataan Mat Sabu merupakan isu yang sangat kecil berbanding isu sejarah Malaysia yang selama ini penuh misteri dengan fakta-fakta yang sama ada tersembunyi atau disembunyi," kata Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) Ahmad Syukri Ab Razab.

Enggan mengulas kenyataan Mohamad secara langsung, Ahmad Syukri berkata pelbagai pihak berhak mengeluarkan pandangan selagi disokong fakta dan tidak berbaur fitnah.

Bagaimanapun, tambah Ahmad Syukri, kenyataan Mohamad secara tidak langsung membangkitkan semula perbincangan mengenai sejarah Malaysia yang kurang diberi perhatian akibat kekalutan politik akhir-akhir ini.

"Mat Sabu bukan satu-satunya tokoh yang mempersoalkan mengenai keabsahan penceritaan sejarah secara formal dalam silibus pendidikan Malaysia, namum sebelum ini ramai lagi tokoh yang telah menghuraikan mengenai kekurangan fakta yang terdapat dalam sejarah kemerdekaan negara," katanya.

psm indepence forum 300807 fahmi rezaAhmad Syukri berkata, terdapat beberapa versi lain berhubung sejarah prakemerdekaan yang seperti dalam filem 10 Tahun Sebelum Merdeka karya Fahmi Reza (kanan) dan kajian pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

"Mahasiswa beranggapan perkembangan semasa ini amat sihat bagi menghasilkan rakyat yang lebih peka sejarah sekali gus mengenali Malaysia dalam erti kata yang sebenar.

"Tidak ada sebab untuk kerajaan berasa khuatir dengan perkembangan semasa ini sekiranya kerajaan benar-benar jujur dengan sejarah yang selama ini dihidangkan kepada rakyat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Syukri berkata, bagi menyemarakkan perbincangan sejarah bersempena sambutan ke-54 kemerdekaan, SMM akan menganjurkan forum membincangkan
perjalanan kemerdekaan berdasarkan sudut pandangan berbeza pada 16 September ini.

Katanya, forum berjudul "Di Sebalik Tabir Kemerdekaan" akan menyentuh idea Perlembagaan Rakyat - cadangan perlembagaan alternatif yang pernah menjadi usul penting Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM).

Penduduk kampung tangkap buaya gergasi


GAMBAR yang dirakamkan kelmarin menunjukkan Datuk Bandar Bunawan, Cox Elorde mengukur buaya gergasi yang ditangkap hidup-hidup di Bunawan, Filipina.



MANILA - Sekumpulan penduduk kampung dan beberapa pakar menangkap seekor buaya gergasi air masin seberat satu tan pada lewat Sabtu lalu yang akan dijadikan daya tarikan sebuah taman ekopelancongan di sebuah bandar di selatan Filipina.

Datuk Bandar Bunawan, Cox Elorde semalam memberitahu, puluhan penduduk kampung dan pakar menangkap buaya jantan sepanjang 6.4 meter itu di sebuah teluk di bandar Bunawan, wilayah Agusan del Sur selepas pemburuan selama tiga minggu.

Ia merupakan antara buaya terbesar pernah ditangkap hidup-hidup di Filipina sejak beberapa tahun lalu.
Elorde berkata, buaya berkenaan membaham seekor kerbau dalam serangan yang disaksikan oleh beberapa penduduk kampung pada bulan lepas.

Reptilia itu juga dipercayai menyerang seorang nelayan yang didapati hilang sejak Julai lalu.
Beliau memberitahu, meletakkan buaya gergasi di sebuah taman pelancongan akan mengubah haiwan itu daripada ancaman kepada satu aset. - AP

Unimas Antara 200 Universiti Terbaik Di Asia

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjsPgJvxG7o4DLZh0VVbyOmS5n3VZpXZFTFseAnLs4nFrb8X-sqd9cbszjDLcCnyjfNRozqj42femKmthZZQaux02A_TFxpUYHtfl-oE2xqXCZlU4mTEoyneYWin66Sqyj4zrx_ubPbvjZd/s1600/UNIMAS.jpg

KOTA SAMARAHAN – Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) disenaraikan sebagai antara 200 universiti terbaik di Asia oleh QS World University Ranking 2011 baru-baru ini, kata Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi Datuk Abdul Rahim Mohd Noor.

Beliau berkata kejayaan itu hasil penganugerahan yang telah diberikan kepada Unimas atas kejayaan penyelidikan bertaraf antarabangsa universiti itu dalam beberapa bidang profesional.

“Untuk menjadi sebuah universiti ‘emas’, Unimas mesti memiliki golongan akademik, intelektual serta cendekiawan yang terbaik dalam menghasilkan graduan yang berstatus emas dan kelas pertama,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan kunci Dewan Tun Abdul Rahman Putra (DeTAR PUTRA) di Kampus Barat Unimas di sini Isnin.

Beliau berkata untuk meningkatkan lagi mutu pendidikan di Unimas, universiti yang kini berusia 19 tahun itu juga mesti menarik lebih ramai pelajar asing mengikuti pengajian di situ dengan menjalin lebih banyak kerjasama dengan universiti luar negara.

Tegasnya Unimas juga perlu memperhebatkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) selain menawarkan perkhidmatan dan kemudahan kelas pertama setaraf dengan kepakaran serta teknologi yang sedia ada di universiti itu. – BERNAMA

Lantai Masjid Palestin dibakar peneroka Yahudi


BEBERAPA penduduk Palestin melihat tayar yang dibakar dalam sebuah masjid di Qusra dekat Nablus semalam.



QUSRA - Perdana Menteri Palestin, Salam Fayyad semalam menyatakan pemerintah Israel bertanggungjawab sepenuhnya dalam kejadian membakar sebuah masjid di utara Tebing Barat.

Beliau mengeluarkan satu kenyataan berhubung kejadian kebakaran itu selepas beberapa buah tayar terbakar ditemui di lantai sebuah masjid di sini yang terletak 15 kilometer ke tenggara Nablus.

Bangunan masjid itu juga dicat dengan grafiti tulisan Ibrani.

Terdapat kesan kebakaran di dalam masjid itu yang didakwa dilakukan oleh peneroka haram Yahudi yang bertindak balas ekoran tiga buah rumah dirobohkan. 

Tiga buah rumah peneroka haram Yahudi itu dirobohkan atas arahan Menteri Pertahanan Israel, Ehud Barak yang disokong Mahkamah Tinggi.

Pemerintah Israel menganggap penempatan yang dibina di Tebing Barat tanpa kelulusan akan dianggap struktur haram.

Kakitangan-kakitangan pihak berkuasa Israel kerap dihantar untuk memusnahkan struktur haram itu.
Namun, masyarakat antarabangsa memutuskan bahawa semua penempatan Yahudi di Tebing Barat, Palestin termasuk di timur Baitulmuqaddis adalah haram. - AFP

KJ Sedia Debat Dengan PAS Isu Siapa Layak Digelar Pejuang Merdeka

KJ Sedia Debat Dengan PAS

KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin menyahut cabaran PAS untuk berdebat secara terbuka mengenai isu siapa yang layak digelar pejuang kemerdekaan negara.

Khairy yang juga Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN) itu berkata, beliau telah menerima jemputan yang dipanjangkan oleh kerajaan negeri Kelantan untuk berdebat dengan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu yang mencetuskan kontroversi tersebut.

“Saya dah terima jemputan…untuk berdebat dengan Mat Sabu di Balai Islam Lundang Kota Baharu.

“Saya akan berada di sana,” katanya menerusi mesej Twitter semalam dan berkata beliau tidak gentar walaupun terpaksa bertandang ke kubu kuat parti itu.

Khairy berkata, walaupun di gelanggang lawan, sama ada Mohamad Sabu atau Datuk Husam Musa (Naib Presiden PAS) beliau tetap akan hadir.

“Masa lawan Husam dulu tiga ribu penyokong PAS dok sorak. Its OK.
“Tak payah cari gelanggang neutral,” katanya.

Semalam, Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengsyorkan debat PAS-Umno berhubung kontroversi tragedi Bukit Kepong dan isu siapa pejuang kemerdekaan negara bagi membolehkan rakyat sendiri membuat penilaian. – BERNAMA

Hantu Bonceng Kutip RM5 Juta 5 Hari Tayangan

hantu-bonceng

KUALA LUMPUR – Hantu Bonceng, filem ke-23 karya pengarah terkenal, Ahmad Idham Ahmad Nadzri,  mencipta sejarah kutipan tiket terbesar pada musim perayaan dengan jumlah RM5 juta dalam tempoh lima hari tayangan dengan purata kutipan tiket sebanyak RM1 juta untuk setiap hari tayangan.

Filem yang dibintangi oleh Zizan Razak, Juliana Evans, Jue Aziz, Dottie, Tai dan Zahid AF itu mula ditayangkan pada 31 Ogos lalu di 80 pawagam secara serentak di seluruh tanahair, Singapura dan Brunei.

“Saya juga menyeru kepada semua pihak yang belum mahu pun yang sudah menonton Hantu Bonceng, untuk pergi ke pawagam, bersama teman-teman dan sanak saudara di Aidilfitri ini, untuk menonton filem ini.

“Hantu Bonceng adalah sebuah komedi ringan yang mempunyai mesej serta mampu mengeratkan perhubungan di antara rakan taulan dan saudara,” kata Ahmad Idham melalui kenyataan media kepada Mynewshub.my di sini hari ini.

Sehubungan itu, syarikat yang bertanggungjawab menerbitkan filem tersebut, Excellent Pictures dan Ahmad Idham, mengucapkan jutaan terima kasih di atas sokongan semua pihak dalam mencipta sejarah perfileman tanah air.

Ucapan terima kasih juga ditujukan khas kepada seluruh peminat dan penonton yang tidak putus memberi sokongan dengan menonton Hantu Bonceng di pawagam yang membantu produksi mencapai jumlah kutipan tiket sebanyak RM5 juta, di mana dianggarkan lebih 500,000 penonton telah menonton filem itu di pawagam.

Selain mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak media yang membantu mempromosikan filem Hantu Bonceng, pihak produksi juga merekodkan penghargaan kepada para pelakon yang sentiasa memberikan komitmen di sepanjang pembikinan filem tersebut

“Selain itu, sekali lagi, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua penonton dan peminat, dan diharapkan sokongan yang diterima berterusan untuk memastikan ‘Hantu Bonceng’ mampu melakarkan satu lagi sejarah perfileman tempatan, dan kita akan dapat berbangga dengan produk filem sendiri,” tambahnya lagi.

Hantu Bonceng masih lagi hangat berdesup ‘membonceng’ di 80 pawagam tanahair, Singapura dan Brunei, dengan kebanyakkan pawagam dibanjiri penonton yang ingin mendapatkan tiket.
Untuk mengelak dari sebarang kesulitan untuk mendapatkan tiket, para peminat dan penonton dinasihatkan agar membuat tempahan awal, samada melalui pembelian kaunter mahupun menerusi aplikasi dalam talian pawagam terpilih. - MyNewsHub
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...