Followers

Promosi Hebat

Peluang untuk menambah wang poket anda. [Churp Churp]

Cipta GAME menarik di #MiloCansNextGame dan menang RM 10K!

The smartest Samsung Galaxy SII. #LoveMySII

Tuesday, September 27, 2011

Bajet 2012: Lebih Banyak Berita Baik Untuk Rakyat

 
Bajet 2012: Lebih Banyak Berita Baik Untuk Rakyat

KUALA LUMPUR – Tentunya ramai yang tertunggu-tunggu untuk mendengar pembentangan Bajet 2012 yang bakal diumumkan oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Tun Razak, pada sidang Dewan Rakyat , 7 Oktober ini.

Apakah ia lebih mesra rakyat berbanding bajet yang pernah diumumkan sebelum ini?

Ramai penganalisis ekonomi menjangkakan Perdana Menteri akan menawarkan pelbagai insentif yang menarik untuk rakyat negara ini demi melengkapkan Program Transformasi Ekonomi (ETP), bersesuaian dengan slogan ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ yang diilhamkan sebelum ini.

Justeru itu, ramai yang beranggapan bahawa pembentangan Bajet 2012 itu akan menzahirkan fokus Kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi pada tahun 2020 dan memberikan perhatian pada peningkatan sosio-ekonomi rakyat.

Menurut kajian yang dijalankan oleh sebuah syarikat penganalisaan ekonomi, AmResearch Sdn Bhd, terdapat empat fokus utama Kerajaan di dalam pembentangan Bajet kali ini merangkumi peningkatan kualiti hidup rakyat, memperluaskan aktiviti ekonomi negara, menyediakan prasarana perniagaan dan modal insan terlatih berkelas dunia.

Kerajaan sememangnya menyedari tentang peningkatan kos sara diri di kalangan rakyat dan ia menimbulkan beban yang bukan mudah untuk digalas khususnya bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Oleh itu, kajian tersebut menyasarkan Kerajaan akan memberikan tumpuan untuk meringankan beban rakyat tersebut dengan memperkenalkan pelbagai insentif seperti baucer tunai yang boleh ditebus di Kedai 1Malaysia dan bantuan sampingan kepada golongan ibu tunggal, pemandu teksi, pekerja estet, pesara serta mereka-mereka yang berpendapatan kurang dari RM3,000 ke bawah.

Selain itu, untuk golongan berpendapatan sederhana pula dijangka akan di’hadiah’kan dengan pelbagai rebet cukai untuk mengurangkan beban sara hidup mereka.

Kerajaan juga dijangka akan memperkenalkan semula pengurangan sumbangan pekerja secara sukarela dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) masing-masing dari sebelas peratus kepada sembilan peratus.
Justeru itu, golongan pekerja di negara ini boleh menikmati lebihan pendapatan kira-kira RM700 juta untuk digunakan bagi meningkatkan kuasa membeli mereka.

Bagi mengekalkan Malaysia sebagai sebuah negara yang paling kompetitif di rantau Asia terutamanya di Asia Tenggara, Kerajaan juga dijangka aka melakukan penstrukturan semula garis panduan pelaburan dengan meningkatkan pegangan asing dalam pelbagai sektor utama yang berpotensi untuk dikembangkan.

Antara sektor yang dikenal pasti berpotensi adalah minyak dan gas, penjagaan kesihatan, pendidikan dan perniagaan perkhidmatan profesional.

AmResearch melalui nota kajiannya juga menjangkakan pengurangan cukai individu sebanyak 1.0 peratus mata, namun berkemungkinan besar Kerajaan akan mengekalkan cukai korporat pada Bajet 2012 ini.

Menurut kajian itu, pengurangan cukai tersebut dilihat perlu dilaksanakan sebagai persediaan Kerajaan bagi melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang dijangka bakal dilaksanakan pada tahun 2014 atau 2015 nanti.

AmResearch menegaskan bahawa langkah tersebut adalah satu tindakan yang sangat positif untuk menghadapi GST dan dilihat mampu membawa pulang bakat-bakat mahir tempatan yang kini berkhidmat di negara luar.

Hasil kajian tersebut menyimpulkan bahawa Bajet 2012 perlu mengekalkan sokongan pertumbuhan fiskal, memberi keseimbangan pengurangan defisit daripada unjuran 5.5 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar pada 2011 kepada 5.2 peratus pada 2012.

Bagaimanapun, firma analisa ekonomi yang terkemuka itu membayangkan bahawa Kerajaan juga bakal berdepan dengan pelbagai cabaran membangunkan negara memandangkan pengurangan bagi perbelanjaan pembangunan adalah sukar ketika pertumbuhan dunia yang semakin merosot.

Kesimpulannya melalui kajian yang dijalankan oleh AmResearch itu, Kerajaan diramal bakal memberikan lebih banyak berita baik sekaligus membayangkan tentang Pilihanraya Umum ke-13 yang semakin hampir. - MyNewsHub

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...