|
|
CARDIFF CITY - Penyerang skuad kebangsaan Malaysia, Mohd. Safee Sali
akan pulang ke tanah air hari ini selepas menjalani latihan selama dua
minggu dengan kelab bola sepak Cardiff City di bawah kendalian pengurus
Malky Mackay.
Harapan pemain berusia 27 tahun itu adalah agar dapat diterima
sebagai pemain kelab dari Wales tersebut yang bersaing dalam Liga
England.
Safee yang kini bermain untuk kelab Indonesia, Pelita Jaya berkata, tempo permainan di England lebih pantas.
Penyertaannya dalam sesi lati-han dengan Cardiff City mendapat
liputan meluas akhbar tempatan, malah beberapa penyokong kelab itu turut
mendapatkan autograf Safee semalam ketika pasukan tersebut menentang
Leicester City.
Safee tidak beraksi pada perlawanan tersebut.
"Selepas menyertai pasukan simpanan dan juga pasukan utama dalam
latihan, saya dapati permainan di sini lebih pantas. Ia berada di tahap
yang sangat berbeza," katanya ketika ditemui di Stadium Cardiff City
semalam.
Safee yang berasal dari Selangor menyifatkan latihan yang
dilaluinya sebagai berjaya dan beliau diterima dengan baik oleh
pemain-pemain Cardiff City.
"Walaupun hanya dua minggu, saya banyak belajar. Insya-Allah, saya
harap dapat kembali untuk bermain dengan pasukan ini pada masa depan,"
katanya.
Perlawanan Cardiff City dengan Leicester City itu turut disaksikan
Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Britain, Datuk Zakaria Sulong dan isteri
yang menyertai sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia yang diraikan oleh
kelab berkenaan.
Safee yang sebelum ini dianggap oleh pengurus Queens Park Rangers,
Neil Warnock sebagai 'David Beckham Malaysia' akan bermain untuk skuad
kebangsaan Malaysia pada aksi persahabatan menentang Australia di Sydney
pada 7 Oktober depan.
Ini merupakan perlawanan pertama antara kedua-dua pasukan itu dalam tempoh 20 tahun. - Bernama
http://wanwidget.com
ReplyDeletewahhh, good good