“BUKAN saya tidak sudi untuk kembali semula (menjalani latihan)
bersama Cardiff City tetapi jadual saya begitu ketat ketika ini.
“Justeru, dakwaan kononnya saya (berpatah arang berkerat rotan) dengan kelab itu sememangnya tidak berasas.
Demikian kata penyerang sensasi Harimau Malaya, Mohd. Safee Sali yang
menafikan dakwaan kononnya dia ‘merajuk’ untuk kembali menjalani
latihan bersama kelab England, Cardiff City selepas ini.
Desas-desus negatif itu timbul dalam kalangan peminat bola sepak
tempatan ekoran kenyataan Safee yang dikatakan ingin mencuba nasib untuk
beraksi bersama kelab Australia pula selepas ini sebaik selamat
menjejakkan kaki di tanah air kelmarin.
Spekulasi tersebut diperkuatkan dengan peluang Safee yang dikatakan
pudar untuk menyarung jersi The Bluebirds lantaran masalah permit kerja
walaupun mendapat khabar gembira daripada Timbalan Presiden Persatuan
Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang
memberi jaminan untuk membantu ‘David Beckham Malaysia’ itu mengatasi
masalah berkenaan jika Cardiff mahu melamarnya.
Meskipun dikhabarkan akan dipanggil untuk dinilai semula selama dua
minggu lagi oleh pengendali The Bluebirds, Malky Mackay yang dilaporkan
berminat dengan kesungguhan, disiplin dan skil Safee sebelum ini, pemain
kelahiran Kajang, Selangor itu juga tidak pasti sama ada ia boleh
dilaksanakan pada waktu terdekat.
“Jadual saya begitu ketat. Selain mewakili (bekas pasukan) Selangor
bagi aksi Piala Sultan Selangor (esok), saya juga akan ke Australia
(mewakili skuad kebangsaan) bagi perlawanan persahabatan.
“Kalau ikutkan hati memang saya mahu kembali semula ke Cardiff. Bukan
senang untuk menjalani lati- han bersama pemain-pemain yang hebat di
sana dan jika tidak terpilih pun, saya langsung tidak menyesal.
“Tetapi saya sendiri tidak pasti bila saya boleh menyertai semula latihan di sana,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Safee sebelum ini selesai menjalani sesi pemilihan selama dua
minggu bersama skuad kendalian Malky Mackay itu sejak pertengahan
September lalu sebaik mendapat ‘lampu hijau’ daripada majikannya,
Pelita Jaya.
Menurut Safee, dia belum membuat sebarang perbincangan lanjut dengan
pemilik Cardiff, Datuk Chan Tien Ghee berhubung perkara itu, selain
tidak menolak kemungkinan akan merujuk perkara tersebut kepada Pelita
Jaya terlebih dahulu sebelum boleh mengulas lanjut.
“Saya juga tidak pasti bila akan kembali ke Indonesia kerana Pelita
Jaya pastinya memerlukan khidmat saya sebelum Liga Indonesia bermula (10
Oktober ini), jadi kita tengok dahulu macam mana,” kata- nya yang
mengakui masih keletihan selepas menempuhi penerbangan yang panjang dari
London kelmarin.
Ketika ditanya mengenai keinginannya beraksi di Australia, jelas
Safee: “Sebagai pemain, saya mempunyai sasaran sendiri untuk beraksi di
pentas yang lebih baik, terutamanya di Australia dan Eropah bagi
mengembangkan karier saya.
“Tetapi ia bukan bermakna saya tidak lagi mahu menyarung jersi
Cardiff, justeru saya harap semuanya faham,” katanya memohon tidak
disalahertikan. - KOSMO!
No comments:
Post a Comment