KUALA LUMPUR – Fenomena “Moon Halo” atau Halo Bulan yang berlaku
kira-kira pukul 10 hingga lewat malam tadi di sekitar Kuala Lumpur dan
Selangor, bukanlah sesuatu yang luar biasa malahan sering berlaku
apabila bulan melalui fenomena tertentu.
Penolong Pegawai Sains Observatori Negara Langkawi, Karzaman Ahmad
berkata fenomena bulan yang kelihatan seolah-olah dikelilingi cincin itu
berlaku disebabkan pembiasan cahaya bulan yang melalui kristal ais
(ketulan ais) pada awan jenis sirus yang terletak kira-kira lima hingga
10 kilometer dari permukaan bumi.
“Cahaya bulan itu akan dibias dan dipantulkan oleh kristal ais maka
cincin yang kelihatan di sekiling bulan itu merupakan cahaya bulan yang
terserak.
“Cincin tersebut sepatutnya berwarna pelangi namun disebabkan bulan
tidak mempunyai cahayanya sendiri (bulan hanya memantulkan cahaya dari
matahari) maka kesan warna itu amat terhad dan tidak kelihatan,” katanya
ketika dihubungi Bernama di sini, Isnin.
Beliau berkata fenomena itu juga berlaku bergantung kepada ketulan
awan sirus yang berada di atmosfera selain terhasil dalam sudut dan
bentuk yang berbeza dalam kristal ais.
“Moon Halo yang terhasil bergantung kepada bentuk kristal ais…ada
yang berbentuk heksagon namun malam tadi ia terhasil pada bentuk cincin,
sudut 22 darjah,” katanya.
Karzaman berkata, fenomena yang berlaku kira-kira lima atau enam
bulan sekali itu turut berlaku pada matahari dan dikenali sebagai “Sun
Halo”.
Beliau turut menolak dakwaan sesetengah individu yang mendakwa bahawa
kejadian tersebut memberi petanda sesuatu kejadian buruk akan berlaku
kepada bumi.
Lewat malam tadi, ramai di kalangan pengguna laman sosial Facebook
dan Twitter yang memuat naik gambar serta membincangkan tentang fenomena
itu, yang dikatakan aneh serta menimbulkan pelbagai reaksi. – BERNAMA
No comments:
Post a Comment