KUALA LUMPUR – Majlis Pimpinan Pakatan pembangkang tidak akan
melaksanakan hukum hudud seperti yang dicadangkan PAS kerana ia tidak
menepati dasar bersama, Perlembagaan Persekutuan dan agenda Buku Jingga.
Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pakatan
pembangkang menghormati pendirian PAS dalam hal itu tetapi pada masa
yang sama menerima perbezaan pendirian DAP yang menentang
pelaksanaannya.
“Kita tak boleh nafikan hak mana-mana pihak untuk mengemukakan
pendirian tetapi kita terikat dengan dasar bersama dan Perlembagaan
Persekutuan,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat pakatan
pembangkang di sini Rabu malam.
Turut hadir Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Pengerusi DAP, Karpal
Singh, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Presiden Parti
Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Isu hudud dibangkitkan Menteri Besar Kelantan yang juga Mursyidul Am
PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebelum ini yang bercadang untuk
melaksanakannya di negeri itu.
Anwar berkata, pakatan pembangkang juga tidak boleh menafikan hak
mana-mana pihak untuk mengemukakan pandangan berhubung isu itu. –
BERNAMA
No comments:
Post a Comment