Followers

Promosi Hebat

Peluang untuk menambah wang poket anda. [Churp Churp]

Cipta GAME menarik di #MiloCansNextGame dan menang RM 10K!

The smartest Samsung Galaxy SII. #LoveMySII

Saturday, August 13, 2011

Dr. Asri Sokong Larang Kuatkan Bacaan Al-Quran


http://mynewshub.my/bm/files/2011/07/mh_01.1.jpg

Bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyokong keputusan Jabatan Mufti Pulau Pinang yang mengeluarkan arahan agar suara bacaan al-Quran tidak dikuatkan melalui pembesar suara seperti yang berlaku di kebanyakan masjid sebelum waktu solat.

Asri juga berkata, mematuhi keputusan dikeluarkan Jabatan Mufti Pulau Pinang tidak harus dianggap sebagai isu poliitk semata-mata.

“Mematuhi hal ini bukan kerana isu politik semata, tetapi itu arahan Nabi s.a.w. dan juga menjaga Islam yang harmoni. Umat Islam Pulau Pinang sepatutnya menyokong keputusan ini, dan saya menyokongnya,” katanya lagi.

“Fatwa atau arahan ini bagi saya selaras dengan kehendak syarak,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Asri (gambar), kelahiran Pulau Pinang ini berkata, apa yang Islam syariatkan untuk diangkat suara, hanyalah azan dan “selain itu, tiada nas yang menyuruh kita menguatkan suara sehingga mengganggu orang lain.”

Malah kata beliau, perbuatan itu dilarang oleh Nabi Muhammad s.a.w. dan apatah lagi dalam Islam, ketenteraman orang lain dipelihara melainkan jika ada pengecualian tertentu yang diizinkan oleh syarak.

“Maka, dengan itu memang wajar arahan meminta dielakkan bacaan-bacaan yang dibuat melalui pembesar suara yang boleh mengganggu orang luar dan dalam masjid,” kata beliau.

Mengikut laporan media semalam, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang mengeluarkan pekeliling mengarahkan semua masjid dan surau di negeri itu menghentikan penggunaan sistem pembesar suara ketika bacaan al-Quran pada waktu sebelum subuh kerana amalan itu bercanggah dengan hukum syarak dan boleh mengganggu orang lain di dalam dan luar masjid.

Bagaimanapun kerajaan Pulau Pinang menyerahkan kepada pentadbiran masjid atau surau di negeri itu membuat pertimbangan sendiri sama ada mahu menggunakan sistem pembesar suara untuk mempendengarkan bacaan al-Quran dan zikir sebelum waktu subuh atau sebaliknya.

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Abdul Malik Abul Kassim berkata, sebagai pentadbir institusi agama, pihak masjid dan surau bagaimanapun sewajarnya menghormati keputusan Majlis Fatwa Pulau Pinang yang memutuskan bahawa bacaan al-Quran menggunakan pembesar suara sebelum waktu subuh adalah dilarang menurut hukum syarak.

“Majlis Fatwa yang dipengerusikan oleh Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Hassan Ahmad pada 6 Jun lepas memutuskan perbuatan berkenaan boleh mengganggu orang lain sama ada yang berada di dalam atau di luar masjid,” katanya.

Abdul Malik berkata kerajaan negeri dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang tidak terlibat dalam keputusan Majlis Fatwa dan meminta perkara berkenaan tidak dipolitikkan.

Jelas Asri, walaupun bacaan al-Quran dan zikir amatlah baik, tidak boleh memaksa orang lain mendengar bacaan yang disampaikan dan mungkin orang lain ingin membacanya sendiri atau ingin membacanya pada waktu lain atau mereka sedang sakit atau ada anak kecil yang tidur, atau mereka tidak difardukan solat seperti wanita yang haid atau bukan muslim dan lain-lain.

“Ramai orang bukan Muslim keliru antara azan dan bacaan-bacaan selain azan yang dilaungkan menerusi corong pembesar suara,” kata ahli akademik Universiti Sains Malaysia ini.

“Mereka menyangka bacaan-bacaan itu adalah azan yang disuruh oleh Islam, lalu mereka bersangka buruk dengan Islam yang harmoni ini. Apatah lagi bacaan itu mengambil masa yang lama, sedangkan azan yang sebenar tidak lebih dari lima minit,” katanya lagi.

Asri juga berkata, sebenarnya, Nabi Muhammad sendiri telah melarang orang menguatkan bacaan al-Quran dalam masjid sehingga mengganggu jemaah lain.

Kata Asri, ulama silam juga telah mengingatkan hal ini bahawa bacaan-bacaan lain di menara-menara masjid adalah dilarang kerana boleh mengganggu orang ramai.

“Al-Imam al-Hafizd Ibn Jauzi pernah berkata, ‘antara tipu daya Iblis ialah mereka yang mencampuradukkan azan dengan peringatan, tasbih dan nasihat. Mereka jadikan azan perantaranya lalu bercampur aduk. Para ulama membenci segala yang ditambah kepada azan.

“Banyak kita lihat orang yang bangun waktu malam lalu memberikan peringatan dan nasihat atas menara azan. Dalam kalangan mereka ada yang membaca al-Quran dengan suara yang tinggi lalu menghalang tidur orang ramai dan mengganggu bacaan orang yang bertahajud. Kesemuanya itu adalah perkara-perkara munkar’,” kata beliau lagi.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...