|
BELUM lagi memulakan ujian pemilihan bersama pasukan Cardiff City,
penyerang kebangsaan, Safee Sali sudah mengharungi dugaan pertama
semalam.
Selain berkelana seorang diri tanpa ditemani keluarga, Safee juga
difahamkan mengalami masalah penerbangan dan hanya dijangka tiba di
Cardiff dari Doha, Qatar lewat petang semalam.
Pengurus Safee, Zakaria Ab. Rahim yang mengesahkan perkara itu
bagaimanapun berkata, masalah tersebut di jangka tidak menjejaskan
konsentrasi dan prestasi Safee dalam usaha memikat pihak pengurusan
Cardiff City.
Menurutnya, terdapat beberapa perkara yang tidak dapat dielakkan
sehingga menyebabkan penerbangan Safee tergendala dan berlepas lewat
dari waktu yang sepatutnya pukul 3.35 pagi semalam.
Selain itu katanya, Safee juga akan menjalani ujian pemilihan seorang
diri tanpa ditemani isteri, Sabarina Yusof dan anak mereka, Syaza
Syaqina kerana mahu memberikan komitmen 100 peratus sepanjang berada di
Cardiff kelak.
“Malah, saya juga hanya akan mengiringi Safee ke Cardiff pada minggu
depan kerana masih mempunyai beberapa urusan penting di tanah air.
“Inilah pengorbanan yang terpaksa dilakukan Safee dalam usaha
memberikan yang terbaik supaya dapat menyarung jersi Cardiff City,”
katanya kepada Kosmo! semalam.
Safee semalam telah berlepas ke Cardiff dalam usaha menjadi pemain pertama negara dapat beraksi bersama kelab England.
Begitupun kata Zakaria, Safee dijangka tidak kesunyian kerana bakal
bertemu peminat-peminat bola sepak negara di Cardiff sempena sambutan
Hari Malaysia yang dijangka diadakan di situ pada 25 September depan.
“Selain itu, Safee juga akan menginap di sebuah hotel yang jaraknya
tidak sampai lima kilometer dari tempat latihan dan dibiayai sepenuhnya
oleh Cardiff City.
“Saya percaya Safee tabah dan kuat ketika merantau di tempat orang
memandangkan dia telah biasa dengan situasi itu sebaik menyarung jersi
kelab Indonesia, Pelita Jaya sebelum ini,” katanya. - Kosmo!
No comments:
Post a Comment