PENYERANG sensasi Harimau Malaya, Safee Sali (gambar) sudah tidak mahu menoleh ke belakang lagi.
Sebaik tiba di England awal minggu lalu, Safee sudah mula menambat
tumpuan pihak pengurusan Cardiff City ketika menjalani sesi latihan
bersama kelab tersebut.
Kecemerlangan Safee sepanjang mengikuti sesi latihan itu pastinya
'menutup mulut' laporan negatif segelintir media tempatan di Britain
yang sebelum ini mempertikai isu permit kerja yang dikatakan menyukarkan
Safee untuk beraksi di sana.
Bagi pengurus peribadi Safee, Zakaria Ab. Rahim, beliau menganggap
isu tersebut seharusnya dijadikan pembakar semangat buat penyerang
berbisa negara itu untuk memikat pengendali skuad The Bluebirds, Malky Mackay.
"Saya harap Safee terus fokus dengan latihan, selain mengelakkan dari
sebarang hubungan atau aktiviti-aktiviti yang menganggu tumpuannya
kerana ini misi terpenting dalam kariernya sebagai pemain bola sepak.
"Kecederaan otot yang menghantui Safee sebelum ini juga semakin
pulih, dan Safee kini berehat selama dua hari sebelum kembali menjalani
latihan Ahad ini (semalam)," katanya menerusi laman rasmi Facebook milik
Safee semalam.
Terdahulu, segelintir pihak media di Britain mempertikai keputusan
Cardiff menguji Safee yang didakwa tidak mampu menyelesaikan masalah di
bahagian serangan The Bluebirds bagi jangka masa pendek.
Ia ekoran penyerang berusia 27 tahun itu dilaporkan perlu beraksi
dalam kancah Liga Eropah terlebih dahulu sebagai sebahagian daripada
syarat mendapatkan permit kerja.
Masalah permit kerja itu bagaimanapun bukan satu masalah besar
memandangkan Cardiff hanya beraksi pada saingan Liga Kejuaraan England,
dan syarat mendapatkan permit kerja difahamkan lebih longgar dikenakan
terhadap pemain berbanding beraksi bersama kelab dalam Liga Perdana
England.
Jika syarat itu benar, usaha Safee untuk menyarung jersi Cardiff
jelas tidak sesukar usaha sebuah lagi kelab, Queens Park Rangers (QPR)
yang dilaporkan turut berminat mendapatkan khidmat Safee.
Safee dijadualkan menjalani sesi pemilihan bersama Cardiff selama dua
minggu sehingga 27 September depan setelah mendapat 'lampu hijau'
daripada majikannya, Pelita Jaya.
Bekas penyerang Selangor itu dikhabarkan telah berehat selama dua
hari sebelum kembali menjalani latihan semalam setelah tidak mengikuti
kunjungan Cardiff ke Newport, utara England bagi menentang Blackpool
bagi aksi ketujuh Liga Kejuaraan England yang berkesudahan seri 1-1. - KOSMO!
No comments:
Post a Comment