LONDON - Arsenal terus dihantui nasib malang ekoran kekalahan
mengejut 3-4 di tangan Blackburn Rovers dalam saingan Liga Perdana
England kelmarin.
Pada aksi di Ewood Park itu, skuad The Gunners terlebih dahulu
di depan hasil jaringan Gervinho pada minit ke-10 sebelum Yakubu
Aiyegbeni menyamakan kedudukan buat Blackburn pada minit ke-25.
Begitupun, Arsenal kembali menguasai perlawanan apabila berjaya
meledak gol kedua menerusi Mikel Arteta untuk mendahului perlawanan
sehinggalah tamat babak pertama.
Sebaik babak kedua bersambung, kesilapan tonggak pertahanan veteran
Arsenal, Alex Song yang tertampan bola masuk ke gawang sendiri pada
minit ke-50 ternyata memberi suntikan semangat buat Blackburn berjaya
meledak satu lagi gol menerusi Aiyegbeni sembilan minit kemudian.
Tatkala The Gunners dilihat cuba kembali bangkit untuk
menyamakan kedudukan, Blackburn berjaya memperoleh gol keempat dan kali
ini, Laurent Koscielny pula tertampan bola masuk ke gawang sendiri.
Meskipun Maroune Chamakh berjaya meledak gol ketiga buat Arsenal,
namun jaringan tersebut sudah dianggap terlambat apabila keputusan 3-4
kekal sehingga tamat perlawanan.
Kekalahan tersebut sekali gus menyaksikan Arsenal setakat ini hanya mampu mengumpul empat mata daripada lima perlawanan.
Mengulas kekalahan terbaharu yang dialami anak-anak buahnya itu,
pengurus Arsenal, Arsene Wenger berkata, mereka masih lagi belum mampu
melupakan kekecewaan tewas 2-8 kepada Manchester United di Old Trafford
bulan lalu.
"Kami memiliki banyak peluang untuk menjaringkan gol, namun dalam
pada masa yang sama, kami juga menjaringkan gol ke gawang sendiri.
Situasi tersebut ternyata suatu yang sukar untuk difahami.
"Buat masa ini, barisan pertahanan kami sememangnya lemah kerana
tahap keyakinan kami semakin luntur ekoran ekoran kekalahan di tangan
United sebelum ini," kata Wenger.
Sementara itu, kemenangan yang dicipta ke atas Arsenal sememangnya
suatu yang bermakna buat pengurus Blackburn, Steve Kean yang sebelum ini
didesak untuk meletakkan jawatannya ekoran prestasi tidak menentu yang
dipamerkan skuad kendaliannya.
Bagi Kean, kemenangan tersebut pastinya akan menutup mulut para pengkritik.
"Saya merasakan keputusan yang kami catatkan hari ini (kelmarin)
telah menjawab segala persoalan dilemparkan ke atas kami dan saya harap
segala-galanya akan berubah selepas ini," jelas Kean. - AFP
No comments:
Post a Comment