KOTA SAMARAHAN – Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) disenaraikan
sebagai antara 200 universiti terbaik di Asia oleh QS World University
Ranking 2011 baru-baru ini, kata Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian
Tinggi Datuk Abdul Rahim Mohd Noor.
Beliau berkata kejayaan itu hasil penganugerahan yang telah diberikan
kepada Unimas atas kejayaan penyelidikan bertaraf antarabangsa
universiti itu dalam beberapa bidang profesional.
“Untuk menjadi sebuah universiti ‘emas’, Unimas mesti memiliki
golongan akademik, intelektual serta cendekiawan yang terbaik dalam
menghasilkan graduan yang berstatus emas dan kelas pertama,” katanya
ketika berucap pada majlis penyerahan kunci Dewan Tun Abdul Rahman Putra
(DeTAR PUTRA) di Kampus Barat Unimas di sini Isnin.
Beliau berkata untuk meningkatkan lagi mutu pendidikan di Unimas,
universiti yang kini berusia 19 tahun itu juga mesti menarik lebih ramai
pelajar asing mengikuti pengajian di situ dengan menjalin lebih banyak
kerjasama dengan universiti luar negara.
Tegasnya Unimas juga perlu memperhebatkan penyelidikan dan
pembangunan (R&D) selain menawarkan perkhidmatan dan kemudahan kelas
pertama setaraf dengan kepakaran serta teknologi yang sedia ada di
universiti itu. – BERNAMA
No comments:
Post a Comment