NEW YORK, Amerika Syarikat (AS) - Empat pelajar AS yang merupakan
usahawan muda kini menjadi rebutan syarikat gergasi Internet, lapor
akhbar Daily Mail semalam.
Mereka dianggap sebagai genius Internet selepas mencipta beberapa aplikasi komputer yang berpotensi besar untuk dimajukan.
Kejayaan empat bakat baharu itu menyebabkan mereka turut menjadi
buruan syarikat-syarikat gergasi Internet temasuk, Facebook, Google dan
YouTube yang tidak mahu terlepas peluang untuk mengambil mereka bekerja.
Mereka muncul selepas kejayaan Mark Zuckerberg menghasilkan laman
sosial Facebook bersama beberapa rakannya yang lain semasa belajar di
Universiti Harvard.
Seorang usahawan muda itu, Feross Aboukhadijeh, 20, yang pernah
bekerja di Facebook dan menjadi rakan Zuckerberg, mencipta nama kerana
menghasilkan laman web YouTube Instant yang dapat menyiarkan klip video
carian pengguna dengan cepat.
Laman web tersebut kini dilawati lebih sejuta kali manakala pelajar
Universiti Stanford di AS itu turut mendapat tawaran kerja daripada
firma enjin carian Internet, Google.
Dia pernah bertaruh dengan seorang rakan bahawa dia dapat menghasilkan laman web YouTube Instant dalam masa sejam.
"Saya kalah pertaruhan itu," katanya dalam temu bual bersama majalah tempatan, New York.
"Saya mengambil masa tiga jam untuk menyiapkan laman web tersebut," tambahnya lagi.
Seorang lagi pelajar, Joseph Huang turut menarik perhatian nama-nama
besar Internet kerana mencipta sistem pengesanan global (GPS) yang
dinamakan WiFiSlam untuk kegunaan dalam bangunan.
Aplikasi Android ciptaannya boleh memandu arah di dalam bangunan
dengan teknologi tersebut berpotensi untuk dijual sebagai sistem
navigasi untuk digunakan di dalam muzium dan pusat beli-belah.
Seorang lagi pelajar, Ashkay Kothari pula mengasaskan aplikasi
berita, The App yang dibeli sebuah firma Internet pada harga AS$4 juta
(RM12.2 juta), lima minggu selepas ia dihasilkan.
Turut tidak ketinggalan menjadi tumpuan penggiat industri Internet
ialah pelajar dari negeri New Hampshire, Dan Thompson yang pakar
menghasilkan pengaturcaraan Internet yang sukar. - Agensi
No comments:
Post a Comment