STOKE - Meskipun sekadar seri 1-1 dengan Stoke City dalam saingan
Liga Perdana England awal pagi semalam, pengurus Manchester United, Alex
Ferguson tetap yakin dengan kemampuan barisan pemain skuad The Red Devils.
Malah, dia menggangap aksi yang dipamerkan barisan pemainnya adalah seperti seorang juara.
"Kami (United) sebenarnya memiliki peluang yang cerah untuk memenangi perlawanan tersebut.
"Namun, Stoke beraksi dengan baik. Mereka telah membuatkan kami
berada dalam keadaan tertekan tetapi kami berjaya mengatasi situasi
tersebut dengan baik.
"Jika mereka menjaringkan gol sekalipun ia hanyalah akan terhasil menerusi set piece kerana mereka mempunyai kelebihan daripada aspek tersebut.
"Begitupun, dalam usaha mempamerkan corak permainan secara menyerang
kami telah menunjukkan bahawa kami adalah lebih baik malah kami
sebenarnya mampu menjaringkan lebih daripada satu gol.
"Mungkin perubahan terhadap barisan pemain dalam pelawanan kali ini
telah menjejaskan sedikit rentak permainan kami tetapi kami masih
mempunyai rekod yang baik dengan Stoke," kata Ferguson.
Pada aksi yang berlangsung di Stadium Brittania itu, skuad The Red Devils terlebih dahulu di depan selepas pemain sayap Portugal, Nani membuka tirai jaringan pada minit ke-27.
Bagaimanapun, Peter Crouch memusnahkan impian United untuk membawa
pulang tiga mata penuh apabila berjaya menyamakan kedudukan pada minit
ke-52.
Dalam pada itu, Ferguson yang telah kehilangan khidmat ayam tambatannya, Wayne Rooney (gambar) ekoran mengalami masalah kecederaan hamstring terus dihantui nasib malang.
Ini kerana, dia kehilangan dua lagi khidmat pemain utamanya selepas
menyaksikan tonggak pertahanan, Jonny Evans mengalami kecederaan di
bahagian buku lali ketika sesi pemanas badan sebelum aksi menentang
Stoke itu.
Lebih malang, Ferguson turut kehilangan bintang muda Mexico, Javier
Hernandez yang terpaksa diusung keluar tatkala perlawanan baharu
memasuki minit ke-10.
"Ia bukan suatu yang mudah dengan beberapa perubahan terpaksa dibuat.
Hernandez memiliki kepantasan dan merupakan seorang pemain yang bijak
membolosi benteng pertahanan lawan tetapi kehilangannya adalah satu
kerugian besar.
"Evans pula mengalami masalah kecederaan pada buku lali sejak semalam
(kelmarin). Kami berdepan dengan malapetaka ketika sesi latihan apabila
Micheal Carrick, Rooney dan Evans semuanya mengalami kecederaan.
"Pada awalnya, Evans merasakan dirinya sudah pulih tetapi ketika sesi
pemanas badan sebelum perlawanan, kecederaan tidak dapat berbuat
apa-apa. Jadi... kami terpaksa melakukan perubahan," jelas Ferguson.
- AFP
No comments:
Post a Comment