KUALA LUMPUR – Pembelian tambah nilai prabayar dan permulaan
prabayar/pek SIM bagi semua syarikat telekomunikasi akan dikenakan cukai
perkhidmatan sebanyak enam peratus, berkuat kuasa 15 Sept.
Pelanggan prabayar akan dimaklumkan melalui SMS bermula tengah hari
ini mengenai cukai perkhidmatan itu, demikian menurut industri syarikat
telekomunikasi Malaysia dalam kenyataan bersama di sini hari ini.
Para pelanggan juga boleh merujuk kepada laman web syarikat
telekomunikasi masing-masing untuk maklumat atau menghubungi pusat
perkhidmatan pelanggan sekiranya mereka mempunyai pertanyaan lanjut.
Syarikat telekomunikasi itu berkata cukai perkhidmatan merupakan
cukai penggunaan dan boleh dikenakan kepada pelanggan sebagaimana yang
disediakan dalam perundangan cukai perkhidmatan.
Akta Cukai Perkhidmatan 1975 memerlukan syarikat telekomunikasi
mengenakan levi cukai perkhidmatan pada kadar tertentu terhadap
perkhidmatan telekomunikasi, termasuk perkhidmatan prabayar mudah alih.
Ini sama seperti cukai perkhidmatan yang dilevi terhadap pembelian makanan dan minuman daripada restoran dan hotel.
Cukai perkhidmatan terhadap prabayar bukan baru kerana syarikat
telekomunikasi telah menyerapnya bagi perkhidmatan prabayar mudah alih
sejak pengenalan pada 1998.
Langkah yang diambil adalah bagi memastikan perkhidmatan prabayar
mudah alih kekal kompetitif berbanding pasca bayar, memandangkan kadar
prabayar tinggi bagi panggilan dan SMS pada permulaan.
Dengan kadar prabayar berkurangan sejak bertahun, ia kini ditawarkan pada kadar yang amat kompetitif.
“Dengan cukai perkhidmatan enam peratus terhadap perkhidmatan
prabayar, seorang pelanggan yang membeli tambah nilai RM10 perlu
membayar RM10.60, dengan
60 sen sebagai cukai perkhidmatan,” kata kenyataan itu. — BERNAMA
No comments:
Post a Comment