KELAB Liga Kejuaraan, Cardiff City terus memberikan peluang kepada
pemain kebangsaan untuk membuktikan kemampuan bersaing dalam kancah bola
sepak Eropah.
Kali ini kelab Liga Divisyen Dua England yang diambil alih ahli
perniagaan Malaysia, Datuk Chan Tien Ghee tahun lalu itu membuka pintu
buat penyerang berbisa negara, Mohd Safee Sali untuk menjalani ujian
percubaan (trial) selepas kapten skuad negara, Mohd Safiq Rahim terlebih
dulu mendapat peluang terbabit.
Namun Mohd Safee yang juga
penyerang kelab Indonesia, Pelita Jaya FC bakal terlebih dulu diuji
bersama kelab berpangkalan di Wales selama dua minggu bermula Isnin ini
dengan Mohd Safiq perlu memberikan komitmen bersama Selangor dalam
saingan Piala Malaysia yang sedang berlangsung.
“Seperti rakyat Malaysia yang lain, saya tidak terkecuali
mengikuti perkembangan bola sepak Inggeris. Malah ketika kecil saya
mengimpikan beraksi di sana dan kini saya sudah dapat peluang
melakukannya.
“Pintu sudah terbuka untuk saya. Ia peluang
sekali dalam seumur hidup dan saya akan berikan segala-galanya untuk
membuktikan kemampuan,” kata penyerang berusia 27 tahun itu yang sering
dibandingkan dengan legenda bola sepak negara, Allahyarham Mokhtar
Dahari.
Penjaring terbanyak Piala AFF 2010 itu adalah
antara tonggak yang membantu Malaysia menjuarai piala rebutan rantau
Asia Tenggara itu buat kali pertama sehingga memikat hati Pelita Jaya FC
untuk mengikatnya, sekali gus menjadi pemain tempatan pertama beraksi
di Liga Super Indonesia (ISL).
Malah kehadirannya di kelab terbabit amat dirasai apabila
menjaringkan sejumlah gol penting untuk mengelakkan Pelita Jaya FC
tersingkir ke liga bawahan.
Mohd Safee juga mempamerkan
sentuhan berbisa pada Julai lalu apabila meledak dua gol ketika
menentang gergasi Liga Perdana Inggeris, Liverpool. - Hmetro
No comments:
Post a Comment