KUALA LUMPUR – Kegirangan pengacara rancangan Malaysia Hari Ini di TV3, Ahmad Fedtri Yahya menyambut Hari Raya Aidilfitri pertama tahun ini bersama Nurul Anati Ismail, 26, sedikit pudar apabila isterinya itu keguguran kandungan pada 26 Julai lalu.
Menurut pengacara berusia 30 tahun berasal dari Pantai Remis, Perak itu, isterinya yang keguguran kandungan pertama itu tidak lama selepas mereka pulang daripada berbulan madu di Korea Selatan pada 15 hingga 18 Julai lalu.
“Selepas tiga hari balik dari bulan madu itu, isteri saya telah menyertai satu kursus di tempat kerjanya. Dia kemudiannya mengadu sakit perut dan berlaku pendarahan. Ketika itu, kandungan isteri saya sudah memasuki usia enam minggu.
“Saya redha dengan ketentuan itu kerana saya memang teringinkan cahayamata biarpun kami baru sahaja berkahwin pada 28 Mei lalu,” katanya sewaktu ditemui selepas rakaman rancangan hari raya terbitan TV3 dan TV3 di One Utama, Petaling Jaya, Selangor semalam.
Biarpun belum ada rezeki bergelar bapa, namun ia tidak mematahkan semangat Ahmad Fedtri bagi meraikan sambutan Hari Lebaran yang pertama disambutnya sebagai suami di kampung isterinya di Tok Uban, Pasir Mas, Kelantan.
Jelasnya, dia akan beraya di kampung keluarga isterinya itu sehinggalah hari raya kedua sebelum bertugas semula di Malaysia Hari Ini pada raya yang ketiga selain mengacarakan rancangan Di Bawah Rimbunan Madrasah pada hari raya yang keempat.
“Saya sentiasa menyambut Hari Raya Aidilfitri dalam keadaan yang sederhana termasuklah selepas berkahwin. Semasa bujang dulu saya menyambutnya secara ala kadar sahaja. Selama lapan tahun bertugas di Malaysia Hari Ini saya menyambut raya pertama di studio sahaja.
“Ini adalah kali pertama sejak lapan tahun saya dapat beraya di luar konti studio pada hari raya yang pertama. Saya seperti sudah biasa bekerja pada hari raya tetapi tahun ini agak bermakna kerana saya meraikannya bersama isteri,” ujarnya lagi.
No comments:
Post a Comment