MANCHESTER: Manchester United dikejutkan dengan berita kecederaan semalam apabila pengurus Alex Ferguson mengesahkan kapten, Nemanja Vidic berdepan kemungkinan diketepikan hingga lima minggu.
Ferguson, yang sudah menyaksikan rakan pertahanan tengah Vidic, Rio Ferdinand tidak beraksi musim ini, berkata masalah kecederaan betis pemain Serbia itu lebih teruk daripada dijangkakan.
“Situasi ini berubah dan Vidic mengalami kecederaan otot betis, bermakna dia mungkin tidak boleh bermain antara empat hingga lima minggu,” kata Ferguson semalam.
Namun ada berita baik buat Ferguson dengan pengesahan Ferdinand mungkin kembali lebih awal daripada diramalkan sebelumnya yang terpaksa diketepikan hingga enam minggu kerana kecederaan hamstring.
Ferguson berkata sekalipun pertahanan England itu akan terlepas aksi awal pagi Selasa ini menentang Spurs di Old Trafford, dia mungkin kembali cergas sepenuhnya sebelum pertemuan United dengan Arsenal pada 28 Ogos ini.
“Rio tidaklah teruk seperti yang kami sangkakan dan dia mungkin bersedia bagi perlawanan kami menentang Arsenal,” kata pengurus berbangsa Scotland itu.
“Saya tidak fikir dia boleh bermain Isnin ini, tapi amat mengagumkan bagaimana sesuatu penilaian boleh berubah dalam tempoh beberapa hari.” Dengan ketiadaan Vidic dan Ferdinand, Ferguson akan menggandingkan Phil Jones, 21, dan Jonny Evans, 23, di bahagian pertahanan tengah menentang Tottenham, yang tidak pernah menang di Old Trafford sejak Disember 1989. - AFP
No comments:
Post a Comment