KUALA LUMPUR – Hantu Bonceng, filem ke-23 karya pengarah terkenal,
Ahmad Idham Ahmad Nadzri, mencipta sejarah kutipan tiket terbesar pada
musim perayaan dengan jumlah RM5 juta dalam tempoh lima hari tayangan
dengan purata kutipan tiket sebanyak RM1 juta untuk setiap hari
tayangan.
Filem yang dibintangi oleh Zizan Razak, Juliana Evans, Jue Aziz,
Dottie, Tai dan Zahid AF itu mula ditayangkan pada 31 Ogos lalu di 80
pawagam secara serentak di seluruh tanahair, Singapura dan Brunei.
“Saya juga menyeru kepada semua pihak yang belum mahu pun yang sudah
menonton Hantu Bonceng, untuk pergi ke pawagam, bersama teman-teman dan
sanak saudara di Aidilfitri ini, untuk menonton filem ini.
“Hantu Bonceng adalah sebuah komedi ringan yang mempunyai mesej serta
mampu mengeratkan perhubungan di antara rakan taulan dan saudara,” kata
Ahmad Idham melalui kenyataan media kepada
Mynewshub.my di sini hari ini.
Sehubungan itu, syarikat yang bertanggungjawab menerbitkan filem
tersebut, Excellent Pictures dan Ahmad Idham, mengucapkan jutaan terima
kasih di atas sokongan semua pihak dalam mencipta sejarah perfileman
tanah air.
Ucapan terima kasih juga ditujukan khas kepada seluruh peminat dan
penonton yang tidak putus memberi sokongan dengan menonton Hantu Bonceng
di pawagam yang membantu produksi mencapai jumlah kutipan tiket
sebanyak RM5 juta, di mana dianggarkan lebih 500,000 penonton telah
menonton filem itu di pawagam.
Selain mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak media yang
membantu mempromosikan filem Hantu Bonceng, pihak produksi juga
merekodkan penghargaan kepada para pelakon yang sentiasa memberikan
komitmen di sepanjang pembikinan filem tersebut
“Selain itu, sekali lagi, saya ingin mengucapkan jutaan
terima kasih kepada semua penonton dan peminat, dan diharapkan sokongan
yang diterima berterusan untuk memastikan ‘Hantu Bonceng’ mampu
melakarkan satu lagi sejarah perfileman tempatan, dan kita akan dapat
berbangga dengan produk filem sendiri,” tambahnya lagi.
Hantu Bonceng masih lagi hangat berdesup ‘membonceng’ di 80 pawagam
tanahair, Singapura dan Brunei, dengan kebanyakkan pawagam dibanjiri
penonton yang ingin mendapatkan tiket.
Untuk mengelak dari sebarang kesulitan untuk mendapatkan tiket, para
peminat dan penonton dinasihatkan agar membuat tempahan awal, samada
melalui pembelian kaunter mahupun menerusi aplikasi dalam talian pawagam
terpilih. - MyNewsHub