Perkumpulan mahasiswa menganggap isu sekitar kontroversi ucapan Timbalan
Presiden PAS Mohamad Sabu yang dikatakan pro-komunis sebagai isu kecil
berbanding perbahasan berkaitan sejarah Malaysia sendiri.
"Bagi
mahasiswa, kenyataan Mat Sabu merupakan isu yang sangat kecil
berbanding isu sejarah Malaysia yang selama ini penuh misteri dengan
fakta-fakta yang sama ada tersembunyi atau disembunyi," kata Pengerusi
Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) Ahmad Syukri Ab Razab.
Enggan
mengulas kenyataan Mohamad secara langsung, Ahmad Syukri berkata
pelbagai pihak berhak mengeluarkan pandangan selagi disokong fakta dan
tidak berbaur fitnah.
Bagaimanapun, tambah Ahmad
Syukri, kenyataan Mohamad secara tidak langsung membangkitkan semula
perbincangan mengenai sejarah Malaysia yang kurang diberi perhatian
akibat kekalutan politik akhir-akhir ini.
"Mat Sabu
bukan satu-satunya tokoh yang mempersoalkan mengenai keabsahan
penceritaan sejarah secara formal dalam silibus pendidikan Malaysia,
namum sebelum ini ramai lagi tokoh yang telah menghuraikan mengenai
kekurangan fakta yang terdapat dalam sejarah kemerdekaan negara,"
katanya.

Ahmad Syukri berkata, terdapat beberapa versi lain berhubung sejarah prakemerdekaan yang seperti dalam filem
10 Tahun Sebelum Merdeka karya Fahmi Reza (
kanan) dan kajian pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
"Mahasiswa
beranggapan perkembangan semasa ini amat sihat bagi menghasilkan rakyat
yang lebih peka sejarah sekali gus mengenali Malaysia dalam erti kata
yang sebenar.
"Tidak ada sebab untuk kerajaan berasa
khuatir dengan perkembangan semasa ini sekiranya kerajaan benar-benar
jujur dengan sejarah yang selama ini dihidangkan kepada rakyat," katanya
dalam kenyataan hari ini.
Dalam perkembangan
berkaitan, Ahmad Syukri berkata, bagi menyemarakkan perbincangan sejarah
bersempena sambutan ke-54 kemerdekaan, SMM akan menganjurkan forum
membincangkan
perjalanan kemerdekaan berdasarkan sudut pandangan berbeza pada 16 September ini.
Katanya,
forum berjudul "Di Sebalik Tabir Kemerdekaan" akan menyentuh idea
Perlembagaan Rakyat - cadangan perlembagaan alternatif yang pernah
menjadi usul penting Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM).