
|
|
SAFEE akan menjalani latihan bersama Cardiff City pada 12 September ini.
|
KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) menganggap pemergian penyerang
prolifik kebangsaan Mohd. Safee Mohd. Sali untuk menjalani ujian dan
latihan dengan Cardiff City pada 12 September ini merupakan medan
terbaik untuk membuktikan kehebatan anak tempatan.
Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, peluang tersebut
perlu digunakan untuk menimba seberapa banyak ilmu bagi membantu
meningkatkan tahap kemahiran serta melonjakan ranking bola sepak negara
seterusnya mendapat permit kerja bagi memboleh mereka beraksi di Liga
Perdana England (EPL).
Menurutnya, KBS yakin isu permit kerja akan menjadi pendorong kepada
pemain kebangsaan meningkatkan pretasi bagi menaikkan ranking negara ke
kedudukan yang lebih baik.
“Syarat bagi seseorang pemain untuk beraksi di EPL ialah pasukan
kebangsaannya perlu berada dalam senarai 70 pasukan terbaik dunia
mengikut ranking yang dikeluarkan oleh Persekutuan Bola Sepak Anta-
rabangsa (FIFA).
“Kalau pemain kita berpotensi, berkemungkinan akan ada usaha untuk
mengecualikan syarat permit kerja bagi membolehkan pemain negara beraksi
dan jika ini berlaku tidak mustahil suatu hari nanti kita akan
mendengar nama pemain Malaysia yang bermain di sana,” katanya.
Sebuah akhbar tempatan semalam melaporkan, Safee akan menjalani sesi
ujian dan latihan bersama kelab Liga Kejuaraan England, Cardiff City
sekali gus mencipta sejarah sebagai pemain pertama negara yang mendapat
peluang menimba pengalaman di sana.
Dia akan menjalani sesi ujian dan latihan dengan pasukan utama kelab
Bluebirds yang dimiliki warga Malaysia, Datuk Chan Tien Ghee dari 12
hingga 27 September ini di bawah tawaran keemasan dan jarang diperoleh
pemain negara.
Ahmad Shabery memberitahu, sukan bola sepak juga kini merupakan satu industri yang mana
Asia dilihat sebagai pasaran yang sangat berkembang dan sebab itu
pemain dari rantau Asia kini menjadi pilihan kepada kelab-kelab ternama
untuk beraksi dengan mereka.
“Sekiranya ada pemain dari Asia beraksi dengan kelab England, ia
merupakan satu lonjakan perniagaan kepada kelab terbabit untuk meluaskan
pasaran mereka yang sudah tentu pengikutnya adalah besar.
Ini juga adalah satu strategi pemasaran,” katanya. -
KOSMO!