WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama hari ini mengetuai pemimpin dunia mendesak agar Presiden Syria, Bashar al-Assad berundur selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran rejim itu terdedah kepada kesalahan jenayah kemanusiaan.
Obama juga mengumumkan sekatan baru terhadap Syria, selepas membeku aset dan menyenaraihitamkan sektor minyak dan gas negara itu sebagai menambah tekanan ke atas rejim berkenaan ketika menangani penunjuk perasaan sehingga lebih 2,000 terkorban.
Rumah Putih kemudian meminta agar Kesatuan Eropah (EU) turut menyusul dengan tindakan AS kerana EU mempunyai jaringan ekonomi lebih besar dengan Syria terutama pembelian minyak berbanding AS.
Ini kali pertama desakan dibuat AS supaya Bashar al-Assad meletakkan jawatan sejak gerakan pro-demokrasi memuncak di negara itu selepas gerakan sama tercetus di Mesir dan Tunisia sejak Mac.
“Kami dengan yakin mahu Presiden Assad mengetuai peralihan kuasa secara demokratik bagi menyelesaikan konflik ini.
“Untuk kepentingan rakyat Syria, masanya sudah sampai agar Presiden Assad berundur,” kata Obama.
Gesaan itu dengan pantas disokong oleh Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy, Canselor Jerman, Angela Merkel dan Perdana Menteri Britian, David Cameron. – AFP
No comments:
Post a Comment