Followers

Promosi Hebat

Peluang untuk menambah wang poket anda. [Churp Churp]

Cipta GAME menarik di #MiloCansNextGame dan menang RM 10K!

The smartest Samsung Galaxy SII. #LoveMySII

Wednesday, September 28, 2011

Namewee Serang Utusan Malaysia Pula


Namewee Serang Utusan Malaysia Pula!




 

KUALA LUMPUR – Namewee buat hal lagi.

Kali ini dia mengutuk akhbar Utusan Malaysia melalui video klip selama 2 minit 43 saat yang dimuat naik ke laman Youtube bermula semalam.

Video klip berkenaan diberi tajuk Namewee FxxK Utusan dan setakat ini, hampir 15,000 hits diperoleh video berkenaan.

Sebahagian besar komen juga dilihat menyebelahi Namewee.

Marah Namewee kali ini dikatakan berpunca daripada sebuah rencana dalam Utusan Malaysia yang bertajuk Bukan Nasi Lemak 2.0, soalnya Namewee…

Rencana tersebut menzahirkan pandangan penulisnya yang tidak senang dengan sikap Namewee yang cuba menjadi hero 1Malaysia melalui filem Nasi Lemak 2.0 arahannya setelah beberapa kali bertindak menghina orang Melayu dan agama Islam sebelum ini.

Dalam rencana berkenaan, penulisnya berkata; Jika diberi tiket percuma pun, saya tidak mahu menonton filem ini.

Tidak seperti kelaziman di mana Namewee akan menyanyi lagu rap untuk meluahkan marahnya, dia kali ini hanya berkata-kata dengan menggunakan bahasa Melayu pasar dan perkataan-perkataan lucah.

Namewee kelihatan sangat marah apabila penulis berkenaan memberitahu tidak mahu menonton filemnya.

Padanya, penulis berkenaan harus menonton dahulu filem tersebut dan kemudian baru menulis pandangannya.

Wartawan Utusan Malaysia berkenaan pula dalam rencananya berkata, Namewee sudah terlalu banyak mengguris hati dan perasaan rakyat Malaysia sebelum ini.

“Tentu kita belum dapat melupakan lagi, pemuda yang berasal dari Johor ini pernah dengan lagu Negarakuku, memperlekeh negara dan menghina wanita Islam bertudung dan azan subuh.

“Selepas itu, dia atau nama sebenarnya Wee Meng Chee buat hal lagi dengan menghina TNB dan dalam lagu bertajuk Kawanku menghina Melayu dengan lirik ‘Melayu Balik Hutan Jadi Sakai’.

“Dan ada lagi, dia membuat satu lagi klip video yang menghina Guru Besar dan Kementerian Pelajaran dengan perkataan-perkataan lucah,” katanya dalam rencananya itu.

Bagi penulis berkenaan, siapa Namewee untuk bercakap mengenai perpaduan antara kaum.

“Alahai, dia pula bercakap pasal 1Malaysia. Adakah anak muda ini sedar, bukankah perpaduan di negara ini dipupuk dengan cara kita menghormati setiap kaum yang ada.

“Bukan dengan menghina dan memperlekehkan sesuatu kaum dan negaranya seperti yang disiarkan di YouTube,” katanya.

Bagi wartawan Utusan Malaysia, kalau mahu bercerita mengenai filem yang mengambarkan aspirasi semua rakyat, maka filem Estet arahan Mamat Khalid lebih hebat dan berkesan.

Filem Nasi Lemak 2.0 dibintangi beberapa artis dan pelakon popular tempatan seperti Afdlin Shauki, Datuk David Arumugam dan Adibah Noor.

Gambar: FB Namewee


-Mynewshub

Tuesday, September 27, 2011

Bajet 2012: Lebih Banyak Berita Baik Untuk Rakyat

 
Bajet 2012: Lebih Banyak Berita Baik Untuk Rakyat

KUALA LUMPUR – Tentunya ramai yang tertunggu-tunggu untuk mendengar pembentangan Bajet 2012 yang bakal diumumkan oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Tun Razak, pada sidang Dewan Rakyat , 7 Oktober ini.

Apakah ia lebih mesra rakyat berbanding bajet yang pernah diumumkan sebelum ini?

Ramai penganalisis ekonomi menjangkakan Perdana Menteri akan menawarkan pelbagai insentif yang menarik untuk rakyat negara ini demi melengkapkan Program Transformasi Ekonomi (ETP), bersesuaian dengan slogan ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ yang diilhamkan sebelum ini.

Justeru itu, ramai yang beranggapan bahawa pembentangan Bajet 2012 itu akan menzahirkan fokus Kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi pada tahun 2020 dan memberikan perhatian pada peningkatan sosio-ekonomi rakyat.

Menurut kajian yang dijalankan oleh sebuah syarikat penganalisaan ekonomi, AmResearch Sdn Bhd, terdapat empat fokus utama Kerajaan di dalam pembentangan Bajet kali ini merangkumi peningkatan kualiti hidup rakyat, memperluaskan aktiviti ekonomi negara, menyediakan prasarana perniagaan dan modal insan terlatih berkelas dunia.

Kerajaan sememangnya menyedari tentang peningkatan kos sara diri di kalangan rakyat dan ia menimbulkan beban yang bukan mudah untuk digalas khususnya bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Oleh itu, kajian tersebut menyasarkan Kerajaan akan memberikan tumpuan untuk meringankan beban rakyat tersebut dengan memperkenalkan pelbagai insentif seperti baucer tunai yang boleh ditebus di Kedai 1Malaysia dan bantuan sampingan kepada golongan ibu tunggal, pemandu teksi, pekerja estet, pesara serta mereka-mereka yang berpendapatan kurang dari RM3,000 ke bawah.

Selain itu, untuk golongan berpendapatan sederhana pula dijangka akan di’hadiah’kan dengan pelbagai rebet cukai untuk mengurangkan beban sara hidup mereka.

Kerajaan juga dijangka akan memperkenalkan semula pengurangan sumbangan pekerja secara sukarela dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) masing-masing dari sebelas peratus kepada sembilan peratus.
Justeru itu, golongan pekerja di negara ini boleh menikmati lebihan pendapatan kira-kira RM700 juta untuk digunakan bagi meningkatkan kuasa membeli mereka.

Bagi mengekalkan Malaysia sebagai sebuah negara yang paling kompetitif di rantau Asia terutamanya di Asia Tenggara, Kerajaan juga dijangka aka melakukan penstrukturan semula garis panduan pelaburan dengan meningkatkan pegangan asing dalam pelbagai sektor utama yang berpotensi untuk dikembangkan.

Antara sektor yang dikenal pasti berpotensi adalah minyak dan gas, penjagaan kesihatan, pendidikan dan perniagaan perkhidmatan profesional.

AmResearch melalui nota kajiannya juga menjangkakan pengurangan cukai individu sebanyak 1.0 peratus mata, namun berkemungkinan besar Kerajaan akan mengekalkan cukai korporat pada Bajet 2012 ini.

Menurut kajian itu, pengurangan cukai tersebut dilihat perlu dilaksanakan sebagai persediaan Kerajaan bagi melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang dijangka bakal dilaksanakan pada tahun 2014 atau 2015 nanti.

AmResearch menegaskan bahawa langkah tersebut adalah satu tindakan yang sangat positif untuk menghadapi GST dan dilihat mampu membawa pulang bakat-bakat mahir tempatan yang kini berkhidmat di negara luar.

Hasil kajian tersebut menyimpulkan bahawa Bajet 2012 perlu mengekalkan sokongan pertumbuhan fiskal, memberi keseimbangan pengurangan defisit daripada unjuran 5.5 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar pada 2011 kepada 5.2 peratus pada 2012.

Bagaimanapun, firma analisa ekonomi yang terkemuka itu membayangkan bahawa Kerajaan juga bakal berdepan dengan pelbagai cabaran membangunkan negara memandangkan pengurangan bagi perbelanjaan pembangunan adalah sukar ketika pertumbuhan dunia yang semakin merosot.

Kesimpulannya melalui kajian yang dijalankan oleh AmResearch itu, Kerajaan diramal bakal memberikan lebih banyak berita baik sekaligus membayangkan tentang Pilihanraya Umum ke-13 yang semakin hampir. - MyNewsHub

Safee pulang ke tanah air hari ini




SAFEE ketika berada di Stadium Cardiff City semalam sebelum pulang ke tanah air.


CARDIFF CITY - Penyerang skuad kebangsaan Malaysia, Mohd. Safee Sali akan pulang ke tanah air hari ini selepas menjalani latihan selama dua minggu dengan kelab bola sepak Cardiff City di bawah kendalian pengurus Malky Mackay.

Harapan pemain berusia 27 tahun itu adalah agar dapat diterima sebagai pemain kelab dari Wales tersebut yang bersaing dalam Liga England.

Safee yang kini bermain untuk kelab Indonesia, Pelita Jaya berkata, tempo permainan di England lebih pantas.

Penyertaannya dalam sesi lati-han dengan Cardiff City mendapat liputan meluas akhbar tempatan, malah beberapa penyokong kelab itu turut mendapatkan autograf Safee semalam ketika pasukan tersebut menentang Leicester City. 

Safee tidak beraksi pada perlawanan tersebut.

"Selepas menyertai pasukan simpanan dan juga pasukan utama dalam latihan, saya dapati permainan di sini lebih pantas. Ia berada di tahap yang sangat berbeza," katanya ketika ditemui di Stadium Cardiff City semalam.

Safee yang berasal dari Selangor menyifatkan latihan yang dilaluinya sebagai berjaya dan beliau diterima dengan baik oleh pemain-pemain Cardiff City.

"Walaupun hanya dua minggu, saya banyak belajar. Insya-Allah, saya harap dapat kembali untuk bermain dengan pasukan ini pada masa depan," katanya.

Perlawanan Cardiff City dengan Leicester City itu turut disaksikan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Britain, Datuk Zakaria Sulong dan isteri yang menyertai sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia yang diraikan oleh kelab berkenaan.

Safee yang sebelum ini dianggap oleh pengurus Queens Park Rangers, Neil Warnock sebagai 'David Beckham Malaysia' akan bermain untuk skuad kebangsaan Malaysia pada aksi persahabatan menentang Australia di Sydney pada 7 Oktober depan.

Ini merupakan perlawanan pertama antara kedua-dua pasukan itu dalam tempoh 20 tahun. - Bernama

Monday, September 26, 2011

Arsenal kehilangan Walcott


WALCOTT (kanan) dipapah keluar padang selepas mengalami kecederaan lutut.


LONDON - Arsenal terpaksa membayar harga yang tinggi biarpun berjaya mencatat kemenangan 3-0 ke atas Bolton Wanderers dalam saingan Liga Perdana England kelmarin.

Ini kerana, pemain sayap mereka, Theo Walcott mengalami kecederaan lutut yang dia bakal terlepas aksi menentang Olympiakos pada saingan peringkat Kumpulan F kempen Liga Juara-Juara awal pagi Khamis ini.

Situasi tersebut ternyata memberikan tamparan hebat buat pengurus skuad The Gunners, Arsene Wenger yang mengakui bahawa dia kini dalam keadaan bimbang memikirkan mengenai kecederaan yang dialami Walcott.

Besar kemungkinan Walcott tidak dapat diturunkan pada pertemuan menentang kelab Greece di Stadium Emirates itu.

"Pada mulanya saya ingatkan ia hanya kecederaan hamstring biasa tetapi sebenarnya tidak. Walcott berasa amat sakit di bahagian lulutnya," kata Wenger.

Sebelum ini, Wenger menetapkan sasaran ke atas anak-anak buahnya untuk mengutip mata maksimum apabila beraksi di tempat sendiri dalam usaha untuk mara ke peringkat kalah mati.
Pada perlawanan menenta'ng Bolton itu, penyerang Belanda, Robin Van Persie muncul wira skuad The Gunners apabila meledak dua gol pada minit ke-46 dan 71 sebelum Alex Song menjaringkan gol ketiga pada minit ke-89.

Mengulas mengenai aksi tersebut, Wenger memuji persembahan yang dipamerkan penyerang Belanda itu selaku kapten apabila menganggap pemain tersebut sudah semakin matang.

"Saya berasa, dia (Van Persie) merupakan salah seorang pemain yang telah meningkat matang dengan penuh tanggungjawab.

"Dia telah menunjukkan banyak peningkatan. Saya telah lama memantau prestasinya dan dia berjaya laksanakan tugasnya dengan baik," jelas Wenger. - AFP

Ferguson puji aksi pemain

 https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEh4EsdB7iZnQc2vyMEk1hTTPdshjJDZ1P7l-XD8f002yW9pqciJF3sEo0yoiRcd4g1Vi6XNvxK9TxqPQltnf9CdXI5G35el9NON96n9trsDZcYd2Jhhc4jKrRyiV9M3mLpZHoMb-66kKSk-/s1600/Key+Discipline+Sir+Alex+Ferguson.jpg


STOKE - Meskipun sekadar seri 1-1 dengan Stoke City dalam saingan Liga Perdana England awal pagi semalam, pengurus Manchester United, Alex Ferguson tetap yakin dengan kemampuan barisan pemain skuad The Red Devils.

Malah, dia menggangap aksi yang dipamerkan barisan pemainnya adalah seperti seorang juara.
"Kami (United) sebenarnya memiliki peluang yang cerah untuk memenangi perlawanan tersebut.

"Namun, Stoke beraksi dengan baik. Mereka telah membuatkan kami berada dalam keadaan tertekan tetapi kami berjaya mengatasi situasi tersebut dengan baik.

"Jika mereka menjaringkan gol sekalipun ia hanyalah akan terhasil menerusi set piece kerana mereka mempunyai kelebihan daripada aspek tersebut.

"Begitupun, dalam usaha mempamerkan corak permainan secara menyerang kami telah menunjukkan bahawa kami adalah lebih baik malah kami sebenarnya mampu menjaringkan lebih daripada satu gol.

"Mungkin perubahan terhadap barisan pemain dalam pelawanan kali ini telah menjejaskan sedikit rentak permainan kami tetapi kami masih mempunyai rekod yang baik dengan Stoke," kata Ferguson.

Pada aksi yang berlangsung di Stadium Brittania itu, skuad The Red Devils terlebih dahulu di depan selepas pemain sayap Portugal, Nani membuka tirai jaringan pada minit ke-27.

Bagaimanapun, Peter Crouch memusnahkan impian United untuk membawa pulang tiga mata penuh apabila berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-52.

Dalam pada itu, Ferguson yang telah kehilangan khidmat ayam tambatannya, Wayne Rooney (gambar) ekoran mengalami masalah kecederaan hamstring terus dihantui nasib malang.

Ini kerana, dia kehilangan dua lagi khidmat pemain utamanya selepas menyaksikan tonggak pertahanan, Jonny Evans mengalami kecederaan di bahagian buku lali ketika sesi pemanas badan sebelum aksi menentang Stoke itu.

Lebih malang, Ferguson turut kehilangan bintang muda Mexico, Javier Hernandez yang terpaksa diusung keluar tatkala perlawanan baharu memasuki minit ke-10.

"Ia bukan suatu yang mudah dengan beberapa perubahan terpaksa dibuat. Hernandez memiliki kepantasan dan merupakan seorang pemain yang bijak membolosi benteng pertahanan lawan tetapi kehilangannya adalah satu kerugian besar.

"Evans pula mengalami masalah kecederaan pada buku lali sejak semalam (kelmarin). Kami berdepan dengan malapetaka ketika sesi latihan apabila Micheal Carrick, Rooney dan Evans semuanya mengalami kecederaan.

"Pada awalnya, Evans merasakan dirinya sudah pulih tetapi ketika sesi pemanas badan sebelum perlawanan, kecederaan tidak dapat berbuat apa-apa. Jadi... kami terpaksa melakukan perubahan," jelas Ferguson. 

- AFP

10 juta unit Galaxy S II dijual




SEOUL - Penjualan telefon pintar Galaxy S II keluaran gergasi kedua pembuat telefon bimbit dunia, Samsung Elektronik semalam menyatakan sebanyak 10 juta unit sudah dijual sejak ia dikeluarkan pada April lalu. 

Penjualan model baharu telefon pintar itu dari peningkatan versi terdahulu meningkat dua kali ganda selepas melepasi penjualan lima juta unit pada Julai lalu. 

Gajet terkini itu dikeluarkan di pasaran tempatan pada 29 April lalu manakala di Eropah pada Mei lalu.
Telefon pintar Galaxy S II itu kemudiannya memasuki pasaran China pada Julai lalu sebelum mendominasi pasaran Amerika Syarikat pada September lalu. 

"Hanya dalam masa lima bulan, penjualan Galaxy S II meningkat dengan mendadak, sekali gus sebagai refleksi sokongan yang kuat daripada rakan kongsi yang lain," kata ketua unit peranti telefon bimbit, JK Shin. 

Penjualan di Korea Selatan sahaja mencapai 3.6 juta unit diikuti sebanyak 3.4 juta unit di Eropah dan 2.3 juta unit lagi di seluruh rantau Asia. - AFP

Sunday, September 25, 2011

Malaysia juga boleh ditimpa serpihan dari langit



 http://upload.wikimedia.org/wikipedia/commons/c/c0/UARS_1.jpg



KUALA LUMPUR – Insiden satelit milik Amerika Syarikat (AS) jatuh ke bumi akibat tarikan graviti tidak sepatutnya dipandang ringan memandangkan Malaysia juga tidak terkecuali daripada terkena serpihan objek seumpama itu yang jatuh dari langit. 

Ketua Makmal Satelit, Jabatan Kejuruteraan Aeroangkasa Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Ir. Renuganth Varatharajoo (gambar) berkata, bandar raya seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Ipoh merupakan lokasi yang berpotensi menyebabkan kemusnahan jiwa dan harta benda yang besar.

“Walaupun objek yang jatuh itu bersaiz 10 sentimeter panjang, kelajuannya tetap memberi impak sangat kuat,” kata beliau lagi.

Beliau mengulas insiden Satelit Penyelidikan Atmosfera Amerika Syarikat (UARS) yang jatuh ke bumi awal pagi semalam dengan dipercayai bertaburan di Lautan Pasifik.

Satelit itu dilancarkan ke orbit pada tahun 1991 untuk kajian lapisan ozon sebelum perkhidmatannya ditamatkan pada 2005.

Menurut Renuganth, satelit seperti UARS akan meluncur selaju 28,000 kilometer sejam sebaik sahaja memasuki atmosfera bumi sebelum terbakar dan berkecai.

Bekas tukang sapu jadi Presiden Zambia

 http://www.zambianwatchdog.com/wp-content/uploads/2011/09/Michael-Sata_1097302c.jpg

USAKA, Zambia - Seorang bekas tukang sapu di stesen kereta api Victoria, London dipilih sebagai Presiden Zambia yang baru.

Berikrar mahu "menyapu Zambia menjadi lebih bersih", Michael Sata yang menerajui parti Barisan Patriotik, mengangkat sumpah sebagai Presiden Zambia Khamis lalu setelah partinya memperoleh kemenangan tipis dalam pilihan raya baru-baru ini. 

Berusia 74 tahun dan mempunyai lapan orang anak, Sata giat menentang pengaruh China yang semakin meluas di negara berkenaan.

Zambia yang dikelilingi lapan negara iaitu Republik Demokratik Congo, Tanzania, Malawi, Mozambique, Zimbabwe, Botswana, Namibia dan Angola adalah pengeluar tembaga terbesar di dunia selain kaya dengan galian lain.

Sata, 74, menuduh pemerintah terdahulu, Presiden Rupiah Banda yang mentadbir Zambia selama 20 tahun sebagai terlalu berlembut dalam menangani gejala rasuah. 

Tidak mahu mengulangi kesilapan sama, beliau berikrar akan berkongsi kekayaan hasil mineral negara itu dengan rakyat secara lebih adil dan telus.

"Zambia tidak boleh lagi mundur ke belakang. Kita semua mesti bergerak ke hadapan sebagai satu bangsa," katanya.

Digelar Tedung Selar kerana ucapan berbisanya yang sukar ditepis pihak lawan, Sata lahir di Zambia ketika negara itu masih bergelar koloni British bernama Rhodesia Utara.

Pada tahun 1950-an, beliau berhijrah ke London sebelum diambil bekerja sebagai tukang sapu dan porter oleh syarikat kereta api Britain, British Rail.

Sata kemudian belajar separuh masa untuk mengubah nasibnya. Beliau juga pernah bekerja di sebuah kilang pemasangan kereta di Britain sebelum kembali ke Zambia.

Sata kemudian menyertai pasukan polis negara itu.

Semasa berkempen, Sata pernah bersumpah bahawa beliau tidak akan minum air minuman yang dibotolkan sehingga semua rakyat Zambia mendapat bekalan air bersih. 

Walaupun kaya dengan pelbagai hasil Bumi, negara di selatan Afrika itu masih dikategorikan sebagai mundur.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), 70 peratus daripada 13 juta rakyat Zambia hidup dalam kemiskinan dengan purata gaji tahunan di negara itu cuma £255 (RM1,250). - Agensi 

Chong Wei ke final

 https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjX1XZVwQN36KoiLx_di_CrEv3vYA6E_hEW9IOzClKn-opZuRwKWANRXI45QaZL7-4-0pNQH3mtz-avDKDNPq2e3HXqBIlIsp87Tfb-TbBekV6wZyXE79dbbFWnBl3_0XWCy0Tw-HsEoRQ/s400/lee-chong-wei.jpg

TOKYO – Juara bertahan, Datuk Lee Chong Wei mengesahkan tiket ke perlawanan akhir Kejohanan Badminton Siri Super Terbuka Jepun selepas menewaskan pemain Denmark, Peter Gade 21-13, 21-16 pada peringkat separuh akhir semalam. Pemain No. 1 dunia itu mudah melepasi tentangan hebat daripada pemain Denmark yang berusia 34 tahun itu.

“Peter adalah seorang pemain yang hebat. Saya rasa ia agak sukar untuk mengatasinya secara fizikal. Saya hanya perlu bermain dengan tenang dan cuba untuk menyerang apabila mempunyai peluang. “Saya mempunyai hanya satu perlawanan lagi untuk diharungi dan berharap rentak cemerlang ini berterusan pada final esok (hari ini). Saya akan cuba untuk melakukan yang terbaik dan kalau boleh menjulang gelaran juara,” ujarnya.

Pada edisi tahun lepas, Chong Wei muncul juara Terbuka Jepun selepas mengalahkan Lin Dan pada perlawanan akhir. Sementara itu hasrat Chong Wei untuk berdepan Lin Dan pada final hari ini tidak kesampaian kerana juara dunia dari China itu mengambil keputusan menarik diri semalam akibat kecederaan. Keputusan Lin Dan itu membolehkan rakan senegaranya, Chen Long melangkah ke final. “Saya kecewa kerana tidak dapat meneruskan permainan dan saya juga tidak berani untuk mengambil risiko,” kata Lin Dan. - AFP

Satelit AS jatuh ke bumi


GAMBAR UARS yang sempat dirakamkan di ruang udara Belanda pada 18 Jun 2010.


WASHINGTON - Sebuah satelit tamat tempoh seberat enam metrik tan milik Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) berkecai semasa memasuki atmosfera bumi pagi semalam dengan serpihan-serpihannya jatuh bertaburan di rantau Lautan Pasifik.

Pusat Operasi Bersama Angkasa Lepas AS dan NASA dalam satu kenyataan memberitahu, serpihan-serpihan satelit sebesar sebuah bas itu tidak semestinya menjunam ke dalam laut tetapi mengesahkan ia jatuh dalam kawasan seluas 800 kilometer persegi di rantau Pasifik.

Setakat berita ini ditulis, pihak berkuasa belum ada mengenal pasti lokasi yang tepat tempat serpihan-serpihan tersebut jatuh.


GAMBAR satelit UARS yang dikeluarkan oleh NASA selepas ia jatuh ke bumi kelmarin. - AFP


Menurut kedua-dua agensi AS itu, satelit sepanjang 11 meter itu jatuh antara pukul 1.23 petang (5.09 petang semalam waktu Malaysia).

Semasa menembusi atmosfera bumi, ia berkecai kepada lebih 100 kepingan tetapi cuma sekitar 26 kepingan logam berat dengan serpihan terbesar seberat 135 kilogram dijangka menjunam ke bumi.
NASA meramalkan kelajuan serpihan satelit itu apabila memasuki ruang udara ialah kira-kira 109 meter sesaat.

NASA sebelum ini meramalkan satelit yang dikenali sebagai Satelit Penyelidikan Atmosfera Amerika Syarikat (UARS) itu jatuh ke bumi seawal Khamis lalu.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...